KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Penyertaan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) mampu menarik sokongan pelbagai pihak untuk bersama PKR membina sebuah negara yang lebih progresif, adil dan inklusif.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim berkata hal ini sejajar dengan komitmen parti berkenaan untuk terus menawarkan politik berasaskan idea, kepakaran dan integriti.
“Pengalaman beliau dilihat mampu memberi nilai tambah kepada KEADILAN (PKR),” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu juga percaya keterbukaan PKR dalam menerima tokoh-tokoh profesional membuktikan parti itu sentiasa berkembang sebagai sebuah wadah yang matang dan bersedia untuk memimpin masa depan Malaysia.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata proses permohonan untuk menyertai PKR perlu mengikuti prosedur yang telah ditetapkan dan seperti yang diumumkan Setiausaha Agung parti.
Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO bagi menyertai PKR.
Tindakan beliau bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikekalkan susulan tindakan Tengku Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahlian dalam UMNO.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO hari ini mengesahkan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.
Namun begitu, Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh hari ini berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Tengku Zafrul untuk menyertai parti berkenaan.
-- BERNAMA