GEORGE TOWN, 10 Mei (Bernama) -- Empat premis makanan diarahkan tutup kerana tahap kebersihan yang kurang memuaskan dan penemuan najis tikus dalam operasi bersepadu oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di daerah Timur Laut di sini semalam.
Dalam kenyataan hari ini, MBPP memaklumkan premis makanan tersebut diarah tutup selama 14 hari hingga 22 Mei ini mengikut Undang-Undang Kecil 38 (1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.
"Kesemua empat premis itu dikenakan tindakan penutupan premis serta-merta kerana tahap kebersihan premis kurang memuaskan iaitu di bawah standard yang ditetapkan serta penemuan najis tikus di kawasan stor dan penyimpanan makanan beku serta dapur.
“Operasi bersepadu ini turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut,” menurut kenyataan itu.
MBPP memaklumkan dalam operasi itu, pihak KPDN Pulau Pinang juga telah mengeluarkan kompaun bagi empat kes yang bernilai RM1,900 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Selain itu, KKM mengeluarkan dua notis berkaitan pelanggan merokok di dalam premis makanan di bawah Akta Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang keseluruhan berjumlah RM500.
“Pihak LHDN pula telah memperoleh maklumat berkaitan percukaian berkaitan Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melibatkan pemilik serta penyewa gerai untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA