DUNIA

Pertemuan Putin-Zelensky Mungkin Berlaku Jika Rundingan Moscow-Kyiv Berjaya - Kremlin

28/05/2025 08:34 PM

MOSCOW, 28 Mei (Bernama-TASS) -- Pertemuan secara peribadi antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky masih berkemungkinan diadakan, namun ia hanya boleh berlaku selepas terdapat kemajuan dalam rundingan antara Moscow dan Kyiv, kata jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Selasa.

“Tiada perubahan dalam pendirian berhubung kemungkinan asas untuk pertemuan sedemikian,” kata Peskov kepada pemberita sebagai menjawab soalan agensi berita TASS.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pertemuan itu seharusnya menjadi hasil daripada persetujuan konkrit antara kedua-dua delegasi, dan bukan diadakan secara berasingan.

Sementara itu, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata Moscow telah mengulangi tuntutannya dalam rundingan terkini di Istanbul agar undang-undang diskriminasi Ukraine dimansuhkan.

“Ketika rundingan disambung semula di Istanbul pada 16 Mei, kami menuntut agar semua undang-undang diskriminasi itu dimansuhkan, dan kami akan terus menegaskannya dalam pusingan rundingan langsung yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau menyampaikan kenyataan itu semasa menghadiri mesyuarat antarabangsa pegawai kanan berkaitan isu keselamatan.

-- BERNAMA-TASS

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2428578