EKONOMI

Malaysia Raih Potensi Pelaburan Bernilai RM8 Bilion Di Ekspo 2025 Osaka - TPM Fadillah 

31/05/2025 03:18 PM

Daripada Karina Imran

OSAKA, 31 Mei (Bernama) -- Malaysia berjaya meraih potensi pelaburan melebihi RM8 bilion dan memeterai 20 memorandum persefahaman (MoU) melalui penyertaan dalam Ekspo 2025 Osaka, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia bagi ekspo itu berkata pencapaian melibatkan 101 syarikat ini menyumbang 61.54 peratus daripada keseluruhan sasaran sebanyak RM13 bilion yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Saya yakin dengan inisiatif berikutnya dalam tempoh empat bulan akan datang, kita bukan sahaja akan melepasi sasaran berkenaan, malah turut membuka peluang baharu kepada rakyat Malaysia.

“Kejayaan penyertaan kita ini akan membuka laluan kepada penciptaan peluang pekerjaan serta mengukuhkan hubungan dua hala dengan Jepun dan rakan global yang lain.

“Oleh itu, bersama-samalah kita memperteguh peranan Malaysia sebagai rakan global yang dipercayai dalam membentuk masa depan berasaskan inovasi dan kerjasama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis perasmian itu ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Selain ekonomi digital, Fadillah turut menekankan bahawa ekonomi hijau, teknologi Jepun, dan penyertaan global dalam Ekspo 2025 sebagai peluang utama yang boleh diterokai oleh Malaysia.

Beliau berkata peluang ini meletakkan Sarawak bukan sahaja sebagai hab tenaga terutamanya tenaga hijau yang memanfaatkan sumber hidroelektrik malah sebagai pemain utama dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Malaysia dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Mengenai pemeteraian 20 MoU, Fadillah berkata Pavilion Malaysia telah mempermudah beberapa MoU berimpak tinggi dan perkongsian strategik yang mencerminkan pendekatan proaktif negara dalam kerjasama serantau, pembangunan mampan dan kemajuan teknologi.

“Perjanjian ini merangkumi pelbagai sektor seperti tenaga boleh baharu (TBB), digital, perkhidmatan hartanah, bioteknologi, inovasi penjagaan dan pembangunan infrastruktur.

“Fokus utama termasuk usaha menyokong penyahkarbonan, memajukan penyelesaian hidrogen hijau, memperkukuh keupayaan penjagaan dementia serta mempromosikan sistem kemudahan pintar dan bahan mampan,” kata beliau.

Fadillah berkata secara keseluruhan, perkongsian berkenaan menekankan peranan Pavilion Malaysia sebagai hab menjana hasil ekonomi nyata, menggalakkan perkongsian ilmu rentas sempadan dan memperteguh kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam teknologi bersih, inovasi inklusif dan industri masa depan.

 Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 telah menerima kehadiran lebih sejuta pengunjung setakat minggu ini dan merupakan pencapaian yang membanggakan.

Fadillah berkata hubungan Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak sekian lama dan hubungan erat di luar daripada hubungan ekonomi mencerminkan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau dan persefahaman budaya.

Menurut beliau, semangat keakraban antara kedua-dua negara telah dipupuk dan diperkukuh selama beberapa dekad, berkembang menjadi perkongsian yang menyeluruh dan teguh.

“Daripada kerjasama awal dalam pembangunan industri sehingga perkongsian kontemporari dalam bidang teknologi dan pendidikan, hubungan antara rakyat dan negara kita amat mendalam.

“Sehubungan itu, acara antarabangsa utama seperti ini merupakan peluang berharga untuk mempererat hubungan sedia ada.

“Melalui kehadiran kami di sini, kami bukan sahaja memaparkan kemampuan dan matlamat Malaysia, malah berinteraksi secara langsung dengan rakyat Jepun dan komuniti antarabangsa,” katanya.

Fadillah berkata pentas global ini menggalakkan persefahaman bersama, dialog penting dan membuka laluan baharu kepada kerjasama meliputi bidang kepentingan bersama.

Sempena pelancaran itu, Pavilion Malaysia turut memperkenalkan maskot rasmi bernama Lina, seorang gadis Malaysia yang memulakan perjalanan meneroka dan mencari keseimbangan, berpandukan versi dirinya yang lebih matang dalam sebuah dunia yang dibentuk oleh aspirasi masa depan.

Selempang batik yang dipakai Lina berubah menjadi songket, melambangkan transformasi, identiti dan harapan.

 Lina merupakan cerminan generasi baharu rakyat Malaysia yang berfikir, diperkasakan dan berakar umbi dalam warisan budaya serta mengamalkan nilai kemampanan global.

Penyertaan Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan disokong menerusi pendekatan kerajaan secara menyeluruh melibatkan 21 kementerian dan 70 agensi.

Ia memfokuskan kepada tujuh sektor strategik iaitu pertanian lestari, TBB, kehidupan pintar, pembuatan hijau, reformasi industri, pengurusan alam sekitar dan industri halal.

Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka meliputi kawasan berkeluasan 2,654.52 meter persegi sebanyak tiga tingkat yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan ekonomi dinamik negara.

Dengan tema “Weaving a Future in Harmony,” pavilion ini menonjolkan komitmen Malaysia terhadap masa depan yang mampan, inklusif dan berwawasan ke hadapan.

Pavilion berkenaan turut menjadi platform bagi pusat kerjasama dan dialog antarabangsa serta lokasi bagi sesi perkongsian, pelancaran produk, pemeteraian MoU dan padanan perniagaan.

Pavilion Malaysia turut menganjurkan acara seperti forum, sidang kemuncak dan sesi jaringan yang akan meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi global yang dinamik.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429531