KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa kenyataan bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isham Jalil mengenai perbicaraan dan rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai risiko nyata yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata Isham yang nama sebenarnya Hizatul Isham Abdul Jalil telah memalukan dan mengejutkan badan kehakiman dengan mempersoalkan pengendalian serta keputusan oleh Mahkamah Persekutuan serta Mahkamah Tinggi berhubung kes SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Najib.
Beliau berkata tindakan Isham telah menyebabkan campur tangan dalam pentadbiran keadilan dan merupakan penghinaan serius terhadap mahkamah dan oleh sebab itu, beliau meminta mahkamah menjatuhkan hukuman denda atau penjara terhadap Isham.
"Pernyataan contemnor bahawa kenyataannya dalam satu sesi dialog awam adalah kritikan yang adil dan tidak dibuat-buat (genuine) terhadap badan kehakiman jelas bertentangan dengan bukti yang dikemukakan terhadapnya," katanya semasa prosiding di hadapan Hakim K. Muniandy.
Isham mengeluarkan kenyataan itu pada temu bual bertajuk "Townhall for Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa" pada 30 Sept 2023 yang disiarkan di laman Facebook "The Malaya Post" pada hari yang sama.
Sementara itu, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun yang mewakili Isham berhujah bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes mereka melampaui keraguan munasabah.
Mahkamah menetapkan 1 Julai ini bagi keputusan permohonan Peguam Negara supaya Isham dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.
Pada 4 Mac tahun lepas, mahkamah telah membenarkan permohonan Peguam Negara untuk memulakan prosiding komital terhadap Isham dan dalam permohonan ex-parte pada 28 Dis 2023, Peguam Negara turut memohon mahkamah untuk memenjarakan atau mengenakan denda ke atas Isham.
Menurut Peguam Negara dalam temu bual itu Isham didakwa mencabar proses penarikan diri melibatkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang mengetuai perbicaraan 1MDB di Mahkamah Tinggi.
Selain itu, Peguam Negara menegaskan bahawa kenyataan Isham telah mencemarkan nama baik badan kehakiman dan berpotensi menghakis keyakinan orang ramai terhadap institusi itu.
-- BERNAMA