EKONOMI

Pemain Industri Digesa Latih Anak Muda Sabah Kemahiran Dalam Sektor Minyak Dan Gas – Anwar

30/05/2025 03:54 PM

Anwar berkata latihan berkaitan penting untuk memastikan golongan muda yang terlibat dalam sektor minyak dan gas memenuhi piawaian, keperluan yang ditetapkan dan menjadi pekerja berkemahiran tinggi, sekali gus mengelakkan ketidakpadanan dalam industri.

KOTA KINABALU, 30 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pemain industri minyak dan gas memainkan peranan melatih lebih ramai anak muda Sabah di peringkat universiti serta sekolah vokasional melalui program berkaitan sebagai usaha memenuhi keperluan pasaran kerja sektor.

Beliau juga berkata agensi kerajaan negeri dan Persekutuan perlu lebih fleksibel untuk membenarkan mereka memasuki bidang itu walaupun tanpa sijil rasmi.

“Biar mereka menjalani latihan dan pastikan latihan itu menepati piawaian dan juga keperluan khususnya dalam industri,” kata beliau ketika merasmikan majlis pelancaran projek Esteel Fasa Satu bernilai RM6.4 bilion di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Projek tiga fasa bernilai RM31 bilion itu yang dibangunkan oleh Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) memberi prospek baik kepada Sabah ketika negeri itu semakin menggerakkan usahanya untuk meneroka bidang baharu bagi merealisasikan potensi penuhnya.

Justeru, Anwar berkata, latihan sewajarnya perlu disediakan termasuk memberi peluang kepada anak muda Sabah untuk meningkatkan kemahiran dalam industri minyak dan gas di luar dari negeri itu sebelum kembali sebagai jurutera atau juruteknik profesional yang berkelayakan.

Memberi contoh, beliau berkata, syarikat minyak dan gas negara Petroliam Nasional Bhd (Petronas),  memberi latihan kemahiran penuh kepada pekerjaan yang tertumpu terutamanya dalam sektor tersebut.

“Jangan berkompromi… Fikirkan tentang masa depan pelajar anda dan mereka akan berkhidmat dengan lebih baik dalam industri,” kata Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar berkata, kestabilan politik negara dan dasar ekonomi yang jelas telah meningkatkan keyakinan pelabur, sekali gus menyumbang kejayaan Malaysia menarik pelabur asing dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata kecekapan dan ketelusan penjawat awam menjalankan tugas juga merupakan elemen penting dalam memastikan tiada halangan birokrasi yang boleh membantutkan pelaksanaan pembangunan di negara ini.

“Sudah tentu (ini) mempamerkan keyakinan mereka (pelabur) terhadap kestabilan sistem politik, kejelasan dasar, dasar ekonomi yang tepat dan pelaksanaan berkesan dari segi kelulusan projek di peringkat bawah,” kata beliau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429188