KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai bukan sekadar pesta menuai sebaliknya mencerminkan sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia yang rencam dan unik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perayaan yang diraikan oleh masyarakat di Sabah dan Sarawak itu dalam semangat kesyukuran dan muafakat, turut memperlihatkan sisi kemanusiaan yang luhur dan MADANI, yang mesti terus ditonjolkan dan diperteguh semangat kemajmukan sebagai lambang perpaduan.
“Perayaan ini antara lain menjadi cerminan keharmonian, kerukunan dan menjadi simbolik kesyukuran kepada alam dan limpahannya.
“Mari bersama bulatkan tekad dan terus bekerja memastikan Sabah dan Sarawak terus menerima limpahan pembangunan yang saksama, baik dari sudut pembangunan, pendidikan mahupun kesihatan agar kesejahteraan rakyat dan generasi penerus kekal terjamin,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Perdana Menteri turut mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan dan Gayu Guru Gerai Nyamai kepada seluruh masyarakat Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA