AM

Agong, Raja Permaisuri Zahir Ucapan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan Dan Hari Gawai

30/05/2025 10:50 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang disambut hari ini dan esok mencerminkan kekayaan warisan tradisi serta keharmonian masyarakat majmuk negara di mata dunia.

Menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah kepelbagaian budaya rakyat Malaysia terserlah menerusi sambutan perayaan tersebut.

“Sambutan ini bukan sahaja merupakan tanda kesyukuran di penghujung musim menuai, malah menjadi peringatan buat seluruh rakyat agar sentiasa mensyukuri rezeki dan nikmat yang dikurniakan, selaras dengan kepercayaan dan amalan masing-masing,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran itu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah juga berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai kepada rakyat Malaysia yang meraikannya.

Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut di Sabah hari ini, manakala Hari Gawai di Sarawak jatuh pada Sabtu dan kedua-dua perayaan diraikan sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429083