KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia terus mengukuhkan hubungan antarabangsanya sebelum pengumuman rasmi Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) di Nairobi, Kenya, esok.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam kenyataan memaklumkan Malaysia berada pada detik penting dalam usahanya menerajui usaha global berhubung perbandaran mampan bagi penggal 2026–2029.
Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia ke Nairobi yang diketuai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming telah mempergiat penglibatan diplomatik peringkat tinggi termasuk mesyuarat dua hala yang produktif dengan China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mexico, Azerbaijan dan Iran, bertujuan menguatkan sokongan terhadap pencalonan Malaysia sebagai presiden Persidangan UN-Habitat.
Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk M. Noor Azman Taib dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad merupakan antara peserta delegasi itu.
Menurut kenyataan itu, dalam perbincangan bersama delegasi China yang diketuai Naib Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandarnya, Jiangou Dong, kedua-dua pihak berbincang mengenai acara bersama akan datang termasuk Persidangan Harta Tanah ASEAN (AREC) di Kuala Lumpur dari 23 hingga 26 Julai ini.
Acara lain termasuk Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) pada 14-16 Sept di Guilin, China dan Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar (APMCHUD) pada 5-7 Okt di Pulau Pinang.
Sementara itu, pertemuan dengan Ketua Pengarah Program Perumahan Sheikh Zayed di UAE, Mohammed Ibrahim Al Mansoori, memfokuskan pada menyelaraskan keutamaan untuk tempoh presiden bersama dan keahlian lembaga eksekutif bagi penggal 2025-2029.
Nga dalam kenyataan itu berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk mengamalkan prinsip kerjasama dalam mandat UN-Habitat dan memastikan projek saling menguntungkan dan berkos neutral.
Beliau mengulangi sokongan Malaysia untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi Quito +10 tahun depan mengenai pelaksanaan Agenda Bandar Baharu (NUA) semasa perbincangan dengan Pengarah Eksekutif UN-Habitat Anaclaudia Rossbach.
Ini susulan pertukaran terdahulu di Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) pada April lepas.
“Kami mengesahkan komitmen kami untuk terus menyokong usaha UN-Habitat di Malaysia termasuk pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu, Garis Panduan Ruang Awam Global dan menghulurkan jemputan kepada Tuan yang Terutama (Rossbach) untuk menghadiri Forum Datuk Bandar ASEAN di Kuala Lumpur dan APMCHUD di Pulau Pinang," tambah Nga.
-- BERNAMA