AM

KDK Malaysia Perkenal Siri RYOU Sempena Ulang Tahun Ke-115

30/05/2025 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- KDK Malaysia, peneraju pasaran dalam industri kipas meraikan ulang tahun ke-115 dengan pelancaran siri baharu kipas siling berteknologi motor DC - Siri RYOU yang menjanjikan penjimatan tenaga dan reka bentuk elegan untuk kediaman moden.

KDK dalam kenyataan hari ini memaklumkan Siri RYOU menawarkan dua pilihan iaitu empat dan lima bilah dengan kemasan mewah elegant grey dan brown, dan dilengkapi teknologi motor DC yang mampu menghasilkan aliran angin kuat dengan penggunaan elektrik minimum.

"Dikuasakan oleh teknologi motor DC yang jimat tenaga, siri ini menjanjikan aliran angin yang kuat dengan penggunaan elektrik yang minimum - pilihan ideal untuk pengguna yang mementingkan penjimatan tenaga dan kelestarian alam.

"Lebih daripada satu abad KDK terus komited dalam mempertingkatkan kualiti harian melalui penyelesaian kipas yang canggih dan menjimatkan tenaga," menurut KDK.

Majlis pelancaran produk baharu itu berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya dari 20 hingga 25 Mei lepas dengan pelbagai aktiviti interaktif diadakan termasuk demonstrasi kipas dan hadiah eksklusif buat pengunjung selain mereka diberikan kopi percuma sebagai tanda penghargaan.

Majlis perasmian khas berlangsung pada 20 Mei dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KDK Kazumichi Kawasaki.

Pelancaran itu turut mengetengahkan model popular sedia ada seperti Siri Sensa dan Siri Nodoka, sekali gus mengukuhkan kedudukan KDK sebagai peneraju dalam teknologi kipas motor DC di pasaran.

"Majlis ini bukan sahaja menghargai legasi gemilang KDK, malah turut melangkah ke hadapan dalam menyediakan penyelesaian dan keselesaan dengan penyejukan yang pintar dan lestari untuk semua rakyat Malaysia," menurut KDK.

Ditubuhkan di Jepun sejak 1909, KDK (Kawakita Denki Kigyosha) diiktiraf sebagai pelopor teknologi kipas dan sistem pengudaraan dengan lebih 100 tahun kepakaran kejuruteraan, terus mendahului dalam aspek keselesaan, kelestarian dan kemampuan milik.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429288