JENAYAH & MAHKAMAH

PGA Serbu Kilang Kayu Di Tiga Negeri, Rampasan Bernilai RM97 Juta

27/05/2025 01:27 PM

KUANTAN, 27 Mei (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dengan kerjasama Jabatan Perhutanan berjaya melaksanakan 32 serbuan ke atas kilang pemprosesan kayu di Kelantan, Terengganu dan Pahang, melibatkan nilai rampasan RM97 juta bagi tempoh 11 Feb hingga 20 Mei lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata bagi tempoh 11 Feb hingga 19 Mei, pihaknya melancarkan Op Bersepadu Khazanah (Op Sawmill) siri satu dan dua, melibatkan serbuan ke atas 18 premis iaitu dua di Terengganu dan 16 di Kelantan.

“Operasi tersebut membawa kepada penangkapan 53 individu serta rampasan pelbagai jenis kayu dan barangan dianggarkan bernilai RM66 juta,” katanya pada sidang media di PGA Briged Tenggara, Kem Bukit Galing di sini hari ini.

Beliau berkata Op Sawmill siri ketiga pula dijalankan melibatkan 14 serbuan ke atas tujuh premis di Pahang manakala bakinya di Terengganu dan Kelantan.

“Sebanyak 45 tangkapan dilakukan dengan nilai rampasan dianggarkan RM30 juta. Daripada jumlah itu, 18 individu merupakan warganegara Malaysia dan telah dibebaskan dengan jaminan manakala 27 lagi terdiri daripada warga asing yang masih direman,” katanya.

Azmi berkata antara warga asing yang ditahan ialah enam warga Myanmar, Bangladesh (tujuh), Indonesia (12) serta masing-masing seorang warga Nepal dan India.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti 11 kesalahan yang dilakukan dalam tiga siri operasi tebabit dan kes disiasat antaranya mengikut Akta Imigresen 1959/63,  Akta Perhutanan Negara 1984, Enekmen Industri Berasaskan Kayu 1985 dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja. 

“Berdasarkan siasatan bersama Jabatan Perhutanan, ada premis yang memiliki lesen sah tetapi premis yang diserbu kali ini menunjukkan bukti pelanggaran undang-undang.

“Ada satu premis yang pada awal risikan didapati tidak mematuhi syarat lesen tetapi semasa serbuan dijalankan, lesen telah diperbaharui dan mereka telah patuhi syarat, jadi tiada tindakan diambil,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2427779