JENAYAH & MAHKAMAH

Penempatan Pendatang Tanpa Izin Di Selayang Diserbu, 225 Premis Diperiksa

30/05/2025 10:59 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Premis yang dipercayai menempatkan ribuan pendatang tanpa izin di Selayang Utara, dekat sini diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Kachi malam tadi dengan 225 premis kediaman dan perniagaan diperiksa.

Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata sebanyak 1,435 individu diperiksa dalam operasi bersepadu yang dilancarkan pada 10.45 malam dan berakhir kira-kira 6 pagi ini. 

“Daripada jumlah itu, warga Myanmar mencatatkan bilangan tertinggi, iaitu 1,222 orang termasuk 160 kanak-kanak manakala bakinya melibatkan warga India, Nepal, Bangladesh dan Indonesia,” katanya pada sidang media selepas operasi terbabit.

Mohamad Suzrin berkata majoriti warga asing yang diperiksa bekerja di Pasar Borong Selayang dan premis perniagaan berhampiran.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat pendatang tanpa izin yang dikenal pasti memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk semakan lanjut bagi mengenal pasti keaslian kad terbabit.

Selain itu, beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan mengenal pasti pelbagai kesalahan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Antara kesalahan dikenal pasti ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tiada dokumen perjalanan yang sah, pengubahsuaian meter elektrik, sambungan air secara haram serta menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati penginapan yang diserbu telah diubah suai secara haram bagi menampung lebih ramai warga asing termasuk penyambungan utiliti secara tidak sah.

“Kita juga menerima maklumat terdapat penyambungan air secara haram termasuk pemotongan paip dan pemasangan tidak sah serta ada penginapan mereka diubah suai untuk menampung lebih ramai warga asing,” katanya.

Mohamad Suzrin berkata kawasan terbabit dipilih hasil risikan selama dua minggu oleh Pasukan Risik PGA susulan aduan orang awam mengenai kehadiran ramai pendatang tanpa izin di kawasan itu.

Operasi Kachi yang diselaraskan Polis Diraja Malaysia itu turut melibatkan tujuh agensi, iaitu JIM, DBKL, Suruhanjaya Tenaga, SPAN, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, St. John Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad membabitkan 560 pegawai dan anggota.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2429080