GAYA HIDUP

"Walk A Payung", Solidariti Buat Pejuang SLE

25/05/2025 02:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Rona ungu mewarnai Taman Tasik Titiwangsa pagi ini apabila lebih 400 peserta menyertai Walk A Payung 2025, program berjalan kaki sejauh tiga kilometer bersempena Hari Lupus Sedunia.

Tidak hanya pesakit autoimun kronik Systemic Lupus Erythematosus (SLE), ahli keluarga dan orang awam juga turut mengenakan baju dan membawa payung ungu sebagai lambang solidariti serta perlindungan terhadap pancaran matahari yang boleh mencetuskan simptom lupus.

Presiden Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) Prof Dr Syahrul Sazliyana Shaharir berkata acara tahunan dengan kerjasama Fakulti Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bagi meningkatkan kesedaran tentang penyaki tersebut yang dihidapi oleh 43 daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia.

pic-2

“Sambutan tahun ini amat menggalakkan sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap SLE, terutama menerusi reruai pendidikan yang disediakan sebagai ruang interaksi antara pesakit dan masyarakat umum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas pelancaran program itu yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Datuk Dr Norsiah Ali di sini, hari ini.

Majlis turut menyaksikan pelancaran buku iLawanLupus: A Patient Dialogue hasil kerjasama PSLEM dan AstraZeneca bagi meningkatkan pemahaman orang ramai tentang penyakit SLE, dan akan diedarkan sebagai bahan pendidikan kepada umum.

pic-3

Peserta, Mazni Ibrahim, 54, yang telah beberapa kali menyertai program itu berkata pembabitannya adalah bagi memberi kefahaman kepada keluarga terdekat tentang perjuangannya sebagai pesakit SLE sejak lebih 20 tahun lepas.

“Saya selalu bawa adik-beradik dan anak saudara untuk sertai Walk A Payung sebab pada peringkat awal dulu mereka tak faham. Pesakit SLE ini orang ingat kita nampak sihat tapi sebenarnya badan kita sangat lemah,” katanya.

Nor Ezzati Nor Albashri, 33, yang bekerja di bahagian kawalan kualiti makanan di Shah Alam, berkata kehadirannya hari ini sebagai tanda sokongan kepada sahabat baiknya, Dr Jazmira Jasni, yang disahkan menghidap SLE sejak tahun lepas.

pic-4

"Sejak dia didiagnosis, saya sentiasa beri sokongan moral, temankan dia kalau dimasukkan ke hospital dan pastikan dia tak terlalu penat atau tertekan. Alhamdulillah, sekarang dia sudah lebih kuat dan faham cara mengurus penyakit ini. Jadi hari ini adalah acara yang sangat bermakna buatnya," katanya.

Dr Jazmira, 33, yang bertugas di Klinik Kesihatan Jinjang pula menyifatkan penyertaannya dalam program itu sebagai simbol kekuatan dan permulaan baharu dalam perjuangannya melawan SLE.

“Saya seorang yang aktif, suka mendaki dan berlari tapi sejak kena SLE hidup berubah 360 darjah. Sekarang saya perlu lebih berhati-hati kerana jantung antara organ yang terjejas tapi saya bersyukur kerana ada kawan yang sentiasa berada di sisi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2426865