Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Kenderaan yang berusia lebih 20 tahun mungkin dianggap tidak lagi selamat digunakan untuk pemanduan jarak jauh, namun bagi anak Kelantan ini, kenderaan “setua” itulah yang membawanya mengelilingi Semenanjung Malaysia secara solo pada Oktober tahun lepas.
Memandu Mitsubishi Pajero keluaran 1999, Muhammad Harith Ghazali, menghabiskan 26 hari di jalan raya, bermula pada 14 Okt di Perlis sebelum bergerak ke selatan dan seterusnya kembali ke pantai timur Semenanjung.
Lebih dikenali sebagai “Abe Pajerolife” dalam kalangan pengikut TikToknya, Muhammad Harith, 32, berkata idea mengembara solo menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) itu tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya memang suka mengembara tetapi semasa PKP tidak dapat ke mana-mana, jadi keinginan membuak-buak. Pada masa sama, saya juga perlu memikirkan cara mengembara tanpa perlukan modal yang banyak,” kongsinya kepada Bernama.
Menurutnya, dia membeli Pajero itu pada harga RM5,000 sebelum dibaiki dan diubah suai menjadi “rumah bergerak”, lengkap dengan ruang tidur, dapur, ruang simpanan dan pancuran air.
pic-2
“Saya beli pada 2020 dan lakukan kerja ubah suai itu secara beransur-ansur selama empat tahun dengan menonton video di YouTube. Hampir RM40,000 saya belanjakan untuk pastikan kereta ini lengkap dan sesuai dipandu jauh. Kos itu termasuk mengecat semula, membaik pulih enjin dan mengubah suai bahagian dalam,” katanya yang bekerja sendiri.
Selepas siap, dia uji pandu kenderaan berkenaan di sekitar negeri kelahirannya sebelum membulatkan tekad untuk mengembara mengelilingi Semenanjung Malaysia.
Walaupun dilengkapi dapur gas dan kelengkapan asas, lulusan Universiti Malaysia Sarawak itu lebih gemar makan di kedai dan restoran di tempat-tempat yang disinggahinya kerana ingin mencuba masakan setempat.
“Saya suka makan di tempat orang sebab kita boleh kenal budaya melalui makanan. Setiap negeri ada cita rasa tersendiri,” katanya.
Selain berpeluang meneroka destinasi baharu, Muhammad Harith menganggap perjalanan itu sebagai ruang refleksi diri, memanfaatkan masa bersendirian untuk lebih memahami kekuatan dan kelemahan diri sendiri.
pic-3
“Dari sini saya banyak tahu kelemahan dan kelebihan sendiri. Saya juga baru tahu yang saya alah kepada makanan tertentu kerana setiap negeri dan tempat menggunakan bahan yang berbeza untuk masakan yang nampak sama,” katanya.
Sepanjang pengembaraannya itu dia hanya berbelanja sekitar RM4,000, meliputi kos petrol, makanan, perbelanjaan harian dan sewaan tapak perkhemahan.
Berkongsi lebih lanjut, Muhammad Harith berkata antara cabaran utama sepanjang menjadi “Abe Pajerolife” ialah dia perlu tiba di destinasi sebelum 6 petang.
“Oleh sebab saya memandu seorang diri, saya mudah rasa mengantuk. Kalau memandu waktu malam, mata saya jadi kabur, terutama apabila hujan. Saya tidak mahu ambil risiko dan berulang kejadian ‘microsleep’ yang pernah berlaku pada saya. Jadi, saya akan bertolak selepas subuh dan pastikan sampai sebelum lewat petang,” jelasnya yang turut bersyukur SUVnya tidak mengalami sebarang masalah sepanjang pengembaraan.
Cabaran lain yang dihadapinya ialah kehabisan bekalan elektrik, menyebabkan dia terpaksa tidur dalam keadaan panas selain pernah berdepan gangguan mistik.
Dia yang kini banyak mengembara ke negeri-negeri pantai timur untuk berkhemah, turut berpesan kepada individu yang berkongsi minat dengannya agar membina ketahanan mental kerana perjalanan sedemikian bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi jika dilakukan secara solo.
-- BERNAMA