Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN -GCC - China yang julung kali diadakan, tiba tepat pada masanya bagi ASEAN menegaskan semula peranannya sebagai tonggak diplomasi global dan jambatan kerjasama antara rantau Teluk dan China, di tengah-tengah persaingan geopolitik yang semakin memuncak, menurut penganalisis.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Danial Rahman berkata sidang kemuncak pada 27 Mei ini berlangsung ketika persaingan geopolitik semakin sengit dan penglibatan Amerika Syarikat dengan negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semakin meningkat, sekali gus membuka peluang penting buat ASEAN memainkan peranan sebagai pemudah cara yang neutral dan inklusif dalam dunia yang semakin ke arah multipolar.
“Pertama, ini peluang untuk ASEAN menegaskan semula peranannya sebagai pemudah cara utama dalam landskap multipolar yang mencabar.
Kedua, untuk meletakkan dirinya sebagai jambatan praktikal antara rantau Teluk dan China bagi menggalakkan kerjasama dan ketiga, untuk menggerakkan projek pelbagai negara yang membawa nilai sebenar dalam perdagangan, tenaga dan kerjasama digital,” katanya kepada Bernama.
Senada dengan pandangan itu pakar serantau, Dr Nadia Helmy berkata negera-negara Teluk sedang giat meningkatkan pelaburan mereka di rantau ini, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui sidang kemuncak ke arah kerjasama strategik dan ekonomi yang lebih mendalam.
“Negara-negara GCC giat melabur dalam ASEAN. Contohnya, Kuwait Petroleum Corporation telah memasuki pasaran Asia Tenggara melalui projek penapisan minyak bersama di Vietnam dan kerjasama dengan Pertamina Indonesia untuk membangunkan kompleks penapisan di Jawa Timur.
“Pada 2017, Saudi Aramco melabur sebanyak US$7 bilion dalam perkongsian dengan Petronas di Malaysia, iaitu pelaburan terbesar syarikat itu di luar Arab Saudi,” kata Nadia, Profesor Sains Politik di Universiti Beni Suef, Mesir, dan pakar dalam hal ehwal politik China dan Asia.
Kerjasama pelaburan asing antara GCC dan ASEAN perlu ditingkatkan, bepenting untuk memaksimumkan manfaat pembangunan dalam bidang ekonomi, perdagangan dan teknologi, katanya.
“Pelaburan bersama asing antara GCC dan ASEAN perlu dipertingkatkan, di samping manfaat yang lebih besar daripada pemindahan dan penyesuaian teknologi, bagi membina ekonomi yang tidak bergantung semata-mata kepada tenaga,” katanya.
Ditubuhkan di Riyadh pada 1981, blok Teluk GCC terdiri daripada enam negara : Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Oman.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata sidang kemuncak ini juga wajar meneroka bidang kuasa lembut yang kurang dibangunkan seperti diplomasi budaya, tadbir urus beretika dan penglibatan belia.
“ASEAN dan GCC berkongsi ikatan peradaban Islam yang kukuh, dengan sejarah panjang perdagangan, keilmuan dan pertukaran berkaitan agama. Menghidupkan kembali hubungan ini melalui festival budaya, inisiatif seni Islam dan projek warisan bersama seperti mengiktiraf pengaruh Hadhrami di Asia Tenggara boleh memperkukuh hubungan rakyat dengan rakyat,” katanya.
Beliau berkata konsep Islam MADANI yang diketengahkan Malaysia boleh dijadikan kerangka untuk mempromosi kesederhanaan dan keharmonian dalam dunia Islam.
“Walaupun sistem politik berbeza, negara-negara ASEAN dan GCC berdepan tekanan yang sama untuk melakukan reformasi, meningkatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
Malaysia boleh membantu ASEAN muncul sebagai platform perkongsian model pembangunan yang mengimbangi kemodenan dengan nilai etika dan keagamaan yang penting untuk menentang ekstremisme dan membina kepercayaan masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA