Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Menyambung Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Sungai Golok akan melengkapkan ketiadaan koridor timur Laluan Rel Singapura–Kunming (SKRL), membuka potensi strategik Malaysia dalam logistik rentas sempadan, kata seorang pakar.
Profesor Madya Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata ia akan menghubungkan laluan rel Hat Yai-Sungai Kolok yang dirancang Thailand.
“Ini boleh mewujudkan jambatan darat alternatif dan berdaya tahan antara Pelabuhan Klang, Pelabuhan Kuantan, dan seterusnya ke Kunming melalui selatan Thailand.
“Walaupun jajaran barat SKRL sudah melalui Padang Besar dan Hat Yai, koridor timur melalui Kelantan masih tiada,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian bagi memberi respon terhadap cadangan duta Thailand ke Malaysia Lada Phumas baru-baru ini, mencadangkan supaya projek ECRL Malaysia, bermula di Kota Bharu, diperluaskan ke sempadan Sungai Golok untuk meningkatkan hubungan rel antara Thailand dan Malaysia.
Wan Mazlina berkata sambungan ECRL itu akan meningkatkan integrasi rel serantau dan menyokong Pelan Induk ASEAN mengenai Kesalinghubungan 2025.
“Kemudahan sempadan yang diperkemas termasuk pos imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (ICQS) yang dinaik taraf, akan menjadi penting untuk memudahkan perdagangan dan pergerakan rentas sempadan yang lebih lancar,” katanya.
Dari segi ekonomi, beliau berkata perhubungan lebih baik akan menyokong matlamat pembangunan Kelantan di bawah Koridor Tanah Merah-Tumpat dan membantu negeri itu menarik RM9.5 bilion pelaburan swasta menjelang 2025.
"Projek itu juga seiring dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 terutamanya objektifnya untuk meningkatkan bahagian mod rel dalam pengangkutan barang dan mengukuhkan daya saing Pantai Timur dalam rantaian bekalan serantau," katanya.
Dari segi ekonomi pengangkutan, Wan Mazlina berkata pengangkutan rel adalah kira-kira 30 peratus lebih murah daripada pengangkutan jalan untuk kargo pukal, menerusi sambungan itu, masa transit antara Kota Bharu dan Bangkok boleh dikurangkan daripada 24 jam kepada hanya 12 jam sahaja.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa walaupun faedahnya menarik, Malaysia mesti menilai dengan teliti daya maju kewangan pelanjutan itu dengan kos berpotensi melebihi RM2.0 bilion disebabkan pembinaan baharu dan infrastruktur sempadan diperlukan.
“Keutamaan negara lain seperti ECRL Fasa 2 ke Pulau Pinang atau cadangan pembinaan Kereta Api Trans Broneo yang menghubungkan Sabah dengan Sarawak juga mesti diambil kira dalam analisis kos dan faedah.
“Cabaran pelaksanaan termasuk pengambilan tanah di kawasan banjir, keperluan untuk menghubungkan Sungai Golok dan kebimbangan alam sekitar melibatkan tanah lembap di Tumpat juga perlu dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata jika dirancang dan dilaksanakan secara strategik, sambungan rel itu boleh menjadi pemangkin mengubah Pantai Timur menjadi koridor perdagangan dan logistik yang dinamik untuk rantau ASEAN dan Indo-Pasifik.
-- BERNAMA