KUALA TERENGGANU, 22 Mei (Bernama) -- Seorang pesara guru mengalami kerugian sebanyak RM67,573.63 selepas ditipu sindiket pembelian dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 20 Mei lepas mangsa wanita yang berusia 61 tahun telah melihat iklan penjualan mangga harum manis di laman sosial Facebook.
Beliau berkata mangsa yang berasal dari Wakaf Tengah di sini menghubungi suspek dan diberi kod pembelian barang untuk tujuan pengesahan.
"Mangsa membuat pengesahan seperti diarahkan dan diminta menghantar semula kod yang diberikan suspek.
"Bagaimanapun, kira-kira 10 malam keesokan hari, mangsa mendapati wang simpanan dalam akaunnya hilang. Selepas diperiksa mangsa mendapati terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang daripada akaun miliknya ke akaun tidak dikenali," katanya.
Azli berkata mangsa kemudian menghubungi pihak bank untuk menyekat sebarang transaksi daripada akaun berkenaan dan membuat laporan polis pada 11.27 pagi semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA