PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Pengerusi Patimas Computers Bhd (Patimas) Datuk Raymond Yap Wee Hin untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap liabiliti beliau dalam kesalahan kes dagangan orang dalam yang dilakukan pada 2012.
Keputusan itu dicapai sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut memerintahkan Yap membayar kos berjumlah RM30,000 kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Turut bersidang Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Swee Seng.
SC dalam kenyataan memaklumkan Yap sebelum ini memohon untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang diputuskan sebulat suara pada 27 Nov 2024 dan Mahkamah Tinggi bahawa beliau bertanggungjawab atas kesalahan dagangan orang dalam membabitkan saham Patimas pada 2012.
SC yang memfailkan saman sivil itu pada 2020, mendakwa bahawa Yap telah melanggar Seksyen 188(2)(a) dan (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dengan melupuskan 43.8 juta saham Patimas milik bekas Pengarah Urusan Law Siew Ngoh antara Jun dan Julai 2012.
SC mendakwa pada masa itu Yap memiliki maklumat penting yang belum didedahkan kepada umum, berkaitan pertanyaan audit dan transaksi mencurigakan antara Patimas dan penghutang utamanya.
"Perkara itu telah dibangkitkan dan dibincangkan oleh juruaudit luar Patimas dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan syarikat," menurut kenyataan SC.
Pada 31 Julai 2012, Lembaga Pengarah Patimas mengumumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu tidak dapat mengemukakan Penyata Kewangan Tahunan Diaudit bagi tempoh kewangan dari 1 Jan 2011 hingga 31 Mac 2012, disebabkan penemuan audit signifikan yang belum diselesaikan.
Kenyataan itu memaklumkan bahawa selepas perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, Yap telah diarahkan membayar kepada SC sejumlah RM3.28 juta, iaitu tiga kali ganda kerugian yang dielakkannya akibat aktiviti dagangan orang dalam berserta penalti sivil sebanyak RM1 juta.
Yap juga dilarang daripada dilantik sebagai pengarah di mana-mana syarikat tersenarai awam selama lima tahun, berkuat kuasa dari tarikh keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 April 2022.
-- BERNAMA