EKONOMI

Petronas Kekal Teruskan Fungsi, Aktiviti Selaras Akta Kemajuan Petroleum 1974

21/05/2025 09:07 PM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipan sepertimana yang diamanahkan kepadanya mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Perkara itu antara dinyatakan menerusi Deklarasi Bersama yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Perdana Putra sini, hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menjelaskan Deklarasi Bersama itu merupakan prinsip-prinsip asas yang telah dipersetujui untuk mempermudah rundingan seterusnya antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Deklarasi Bersama itu memperakui undang-undang Persekutuan dan negeri, kedudukan perjanjian sedia ada dan pembentukan rangka kerja kerjasama antara Petronas dan Petros.

“Antara lain, Deklarasi Bersama tersebut menyatakan perkara-perkara berikut: semua undang-undang Persekutuan dan negeri Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas di dalam negeri Sarawak hendaklah wujud secara bersama dan dihormati oleh semua pihak yang menjalankan aktiviti tersebut di Sarawak, termasuk Petronas dan Petros,” menurut PMO.

PMO memaklumkan selain itu, kerajaan negeri Sarawak telah melantik Petros sebagai agregator gas berkuat kuasa 1 Mac, 2025 dan pelantikan itu hendaklah dihormati oleh semua pihak yang menjalankan perniagaan pemasaran, pengedaran dan pembekalan gas kepada pengguna domestik di Sarawak.

“Sebarang perjanjian dan pengaturan antara Petronas dan/atau anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan gas asli cecair (LNG) dari sektor huluan hingga ke pengeksportan LNG kepada pihak-pihak antarabangsa akan kekal tidak terjejas,” menurut PMO.

Deklarasi Bersama itu juga menyatakan mana-mana undang-undang di negeri Sarawak tidak akan menjejaskan mana-mana perjanjian dan pengaturan antara Petronas dan anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga termasuk Petros, yang berkaitan dengan aktiviti Petronas dan anak-anak syarikatnya di Sarawak.

Selain itu, PMO memaklumkan Petronas dan Petros  hendaklah mengadakan perbincangan bagi tujuan meluaskan kerjasama bagi keperluan gas domestik Sarawak dalam bidang ditetapkan.

Antara bidang itu adalah kerjasama dalam projek penyaluran bekalan gas sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari (Bscf/d) bagi menyokong Pelan Hala Tuju Gas Sarawak.

Kerjasama turut merangkumi lain-lain projek tenaga hijau, hidrogen dan penjanaan elektrik yang mungkin dilaksanakan oleh Petronas dan Petros, selaras dengan aspirasi negeri Sarawak, tambah PMO.

“Semua perbincangan lanjut mengenai kerjasama mesti tertakluk kepada daya maju komersial dan teknikal. Bagi tujuan projek-projek masa depan di Sarawak yang melibatkan rakan kongsi antarabangsa, Petronas akan bekerjasama dengan Petros,” menurut PMO.

PMO menjelaskan Petronas dan Petros hendaklah berusaha untuk terus bekerjasama memperincikan rangka kerja demi kepentingan negara mengikut prinsip komersial secara telus.

“Potensi besar yang dapat diterokai secara menyeluruh dari kesepakatan ini mampu memperkukuh kepercayaan dan mengembalikan keyakinan para pelabur khususnya syarikat-syarikat antarabangsa dalam sektor petroleum untuk memuktamadkan hala tuju pelaburan masing-masing di Malaysia,” menurut PMO.

-- BERNAMA

 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425346