AM

JPN Teliti Tindakan Tatatertib Pegawai Cuai, Lewat Siasat Kes Permohonan Kad Pengenalan

20/05/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan meneliti tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati cuai atau gagal melaksanakan siasatan berhubung kelewatan dalam pengendalian satu kes permohonan kad pengenalan.

Dalam kenyataan hari ini, JPN menjelaskan pihaknya juga akan menetapkan garis masa yang munasabah untuk penyelesaian kes siasatan yang kompleks dan melaksanakan latihan semula serta pemantapan kompetensi pegawai penyiasat.

“Jabatan ini juga sedang menyemak dan memperkemas prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan bagi memastikan setiap siasatan dijalankan dengan lebih efisien dan selari dengan prinsip tadbir urus yang baik.

“JPN turut meningkatkan sistem penyimpanan dan pengurusan dokumen bagi mengelakkan sebarang kehilangan atau kecuaian,” menurut kenyataan itu.

Langkah berkenaan diambil susulan dapatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini berhubung kelewatan tindakan penyiasatan dalam satu kes permohonan kad pengenalan dikendalikan JPN sehingga mengambil masa lebih 10 tahun untuk diselesaikan.

Menurut kenyatan itu, JPN mengambil serius setiap teguran serta syor penambahbaikan yang diberikan, termasuk aspek pengurusan kertas siasatan, penyimpanan dokumen penting, pematuhan kepada SOP, serta pelaksanaan Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

“JPN sentiasa komited dan mengutamakan ketelusan, integriti dan kecekapan dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Langkah penambahbaikan yang diambil bukan sahaja untuk menangani isu yang dibangkitkan, namun adalah usaha secara berterusan yang akan sentiasa diberi keutamaan, seiring dengan aspirasi reformasi sektor awam yang digariskan oleh Kerajaan MADANI,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425008