JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN N. Sembilan Lupus Barangan Rampasan Bernilai Hampir RM300,000

08/05/2025 07:10 PM

SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melupuskan pelbagai jenis barangan yang dirampas menerusi Op Tiris melibatkan minyak diesel bernilai RM291,562 di Kompleks Penyimpanan Ekshibit di sini hari ini.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata pelupusan kali ini melibatkan barang kawalan membabitkan tiga kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Barangan itu ialah 45 tangki lut sinar (IBC), mesin pam berserta hos (lima), tangki skid dengan kapasiti 15,000 liter dan dua telefon bimbit bernilai RM276,035.

“Selain itu, KPDN Negeri Sembilan turut melupuskan minyak diesel yang disita bernilai RM15,527. Kesemua kertas siasatan itu telah diselesaikan melalui tindakan kompaun terhadap orang kena saman dengan jumlah keseluruhan RM13,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi digalakkan untuk tampil menyalurkan aduan menerusi pelbagai saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp ke 019- 848 8000 atau Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2420997