JENAYAH & MAHKAMAH

10 Lelaki Ditahan Disyaki Terlibat Rusuhan

10/05/2025 05:27 PM

SEREMBAN, 10 Mei (Bernama) --  Polis menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan yang berlaku pada 3 pagi semalam berhampiran kedai makan dan gelanggang futsal Kampung Sentosa Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohammad Hatta Che Din berkata aduan dibuat oleh bapa mangsa dan kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

"Menurut pengadu, anak lelakinya telah dipukul secara beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kiri dan sakit di seluruh badan.

"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada selisih faham, suspek utama kes ini dipercayai bertindak menyerang mangsa kerana menyangkakan mangsa telah mencederakan adiknya," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis memandang serius sebarang bentuk keganasan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2421567