MOSCOW, 13 Mei (Bernama-Sputnik) -- Kremlin pada Isnin mengesahkan bahawa persiapan sedang dijalankan bagi rundingan Rusia-Malaysia, dengan Moscow meletakkan kepentingan besar terhadap pertukaran itu, lapor Sputnik yang memetik jurucakap Kremlin Dmitry Peskov.
“Kami akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi. Apa yang boleh saya katakan, ya, kami sedang membuat persiapan untuk rundingan dan hubungan Rusia-Malaysia, dan kami amat menghargainya,” kata Peskov kepada wartawan.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Rusia dari 13 hingga 16 Mei, bermula di Moscow sebelum ke Kazan, Republik Tatarstan pada 15 Mei bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: KazanForum”.
Menurut Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra), lawatan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia serta memperluas kerjasama dalam platform serantau dan pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS.
“Di Moscow, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan peringkat tinggi dengan Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin untuk menilai semula hubungan dua hala dan meneroka kerjasama dalam bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan agromakanan, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga,” menurut kenyataan Wisma Putra.
Para pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.
Wisma Putra menambah lawatan itu turut menjadi platform untuk mengenal pasti bidang kerjasama di bawah Perkongsian Dialog ASEAN-Rusia, sejajar peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, lapor Bernama.
-- BERNAMA-SPUTNIK