AM

Malaysia Ungguli Penilaian ODIN 2024/25: Bukti Langkah Reformasi Kerajaan Buahkan Hasil - Fahmi

30/04/2025 06:56 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Malaysia, yang mendapat pengiktirafan global apabila menduduki tempat pertama dalam penilaian Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25, membuktikan beberapa langkah reformasi yang dibawa kerajaan dalam pengurusan data membuahkan hasil.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, bagaimanapun berkata Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa terdapat perkara yang boleh ditambah baik setelah meneliti laporan ODIN.

"Daripada laporan ODIN menunjukkan ada dua aspek yang diteliti iaitu liputan dan keterbukaan. Di situ, liputan menunjukkan ada beberapa sektor seperti hasil keputusan kesihatan, keterjaminan makanan dan nutrisi serta beberapa perkara yang lain perlu kita usahakan.

"Walaupun kita mencapai kedudukan sangat baik dan bagi saya ini satu pengiktirafan usaha terutama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada masa yang sama kementerian-kementerian juga disaran untuk meneliti laporan ini dan lihat bagaimana kita masing-masing mengusahakan data supaya lebih baik di masa hadapan," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan semalam memaklumkan Malaysia melakar sejarah apabila menduduki tempat pertama dalam penilaian ODIN 2024/25 mengatasi 198 negara lain dengan skor keseluruhan 90 dan skor keterbukaan data yang cemerlang iaitu 99.

Beliau berkata laporan rasmi oleh Pemantauan Data Terbuka (ODW) itu menandakan lonjakan besar buat negara yang sebelum ini berada di kedudukan ke-67 bagi 2022/23 dan kejayaan membanggakan tersebut membuktikan keupayaan Malaysia dalam memperkukuh sistem statistik rasmi dan bersaing di peringkat global.

Mohd Uzir juga berkata penilaian ODIN bukan sahaja mendorong amalan terbaik dalam tadbir urus data negara malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global dalam aspek ketersediaan data yang lebih terperinci, telus dan penggunaannya secara terbuka.

Beliau berkata pengiktirafan itu turut membuktikan komitmen berterusan DOSM untuk membina ekosistem data yang inklusif, berasaskan fakta serta memacu pembangunan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Laporan penilaian ODIN yang dikeluarkan secara dwitahunan memfokus kepada keterbukaan dan liputan data rasmi negara yang dinilai menerusi ketersediaan penunjuk utama, perincian mengikut masa serta geografi selain kemudahan akses kepada data dalam format mesra mesin.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418415