AM

Pindaan Akta Perhimpunan Aman Dijangka Dibentang Di Parlimen Selewat-lewatnya Oktober Ini - Fahmi

30/04/2025 06:18 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Cadangan pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dijangka dibentang di Parlimen pada persidangan terdekat atau Oktober ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata antara keputusan dasar yang dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri adalah hasrat untuk meminda Akta 736 seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 13 Feb lepas.

"Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa dari tahun 2022 hingga 2024, jumlah permohonan yang diluluskan untuk semua perhimpunan aman di Malaysia adalah pada kadar 99 peratus.

"Ini satu angka yang bila kita teliti statistiknya adalah memberangsangkan namun kita percaya pindaan yang akan dibawa ke Parlimen nanti akan membolehkan hak rakyat untuk berhimpun dengan aman diperkukuh," katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.

Pada 13 Feb lepas, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju meminda Akta 736 bagi memudah dan membantu pelaksanaan sebarang perhimpunan aman di negara ini.

Beliau berkata pindaan yang dijadualkan pada sesi Parlimen akan datang itu antara lain dijangka mengeluarkan Seksyen 11 akta berkenaan iaitu melibatkan keperluan persetujuan pemunya atau pemilik lokasi perhimpunan.

Bagaimanapun, Anwar berkata penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan diadakan bagi membolehkan pihak berkuasa menjaga keselamatan, kawalan dan lalu lintas.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418385