AM

Subsidi Telur: Rakyat Harap Harga Kekal Berpatutan

30/04/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Keputusan kerajaan mengurangkan subsidi telur ayam bermula esok sebelum ditamatkan pada 1 Ogos, disifatkan sebagai langkah ke arah kelestarian fiskal negara, namun masyarakat tetap berharap harga telur kekal berpatutan memandangkan ia adalah sumber protein utama.

Di PERAK, Timbalan Yang DiPertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak Zahari Abd Murad berpendapat bahawa pelaksanannya perlu disertai dengan mekanisme sokongan bagi melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kesan kenaikan harga.

“Kerajaan perlu memberi fokus kepada perbelanjaan bersih individu dan bukannya pendapatan isi rumah. Ini kerana terdapat kebimbangan penamatan subsidi akan memberi kesan kepada golongan B40 dan peniaga kecil kerana telur antara sumber protein dan pilihan makanan murah,” katanya kepada Bernama.

Di PAHANG, peniaga Annaway Intertraders Sdn Bhd Xavier Arumanathan, 60, berkata penyarasan subsidi telur ketika ini, tidak begitu memberi kesan memandangkan bekalan telur dalam negara mencukupi.

“Ketika ini, pengeluaran telur di negara lebih stabil, jadi bila stok lebih harganya pasti turun. Sekarang harga telur bagi gred B ialah RM8.10 (manakala) gred C pula RM7.50. Malah, telur gred C pernah dijual RM6 sepapan pada awal tahun,” katanya.

Di TERENGGANU, pekerja swasta Siti Rohaniza Razali, 44, berkata walaupun memahami tindakan yang diambil itu, dia berharap kerajaan dapat memastikan pelaksanaan penamatan subsidi itu tidak membebankan rakyat.

Sementara itu, di KEDAH, peniaga makanan Nur Zila Baharom, 44, dari Jitra yang menjual makanan berasaskan telur berharap kerajaan dapat menstabilkan harga dan memastikan bekalan telur sentiasa mencukupi. 

“Saya boleh dapatkan bekalan telur pada harga lebih kompetitif menerusi program jualan anjuran kerajaan,” katanya.

Sementara itu di MELAKA, ibu kepada lima orang anak Razilah Rahmat, 45, berkata telur merupakan keperluan bagi keluarganya selain menjadi antara cara untuk berjimat dalam menyediakan makanan.

“Kalau nak jimat, memang telur akan jadi pilihan. Saya berharap harga baru telur khas (yang akan diperkenalkan pihak industri susulan pengurangan subsidi telur) tidak melambung hingga menyukarkan kami terutamanya golongan anak ramai,” katanya.

Sementara itu di PERLIS, peniaga gerai makan Azura Zulkifli, 41, berkata dia memahami langkah kerajaan berhubung subsidi telur, namun berharap kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani cabaran kos sara hidup dihadapi rakyat. 

Di PULAU PINANG, pembekal telur ayam Ahmad Azmer Mirasa, 34, berkata harga telur turut ditentukan oleh permintaan dan pengeluaran di ladang, seperti yang berlaku pada Ramadan, apabila harga barang keperluan itu turun.  

Di SABAH, pemilik restoran di Sepanggar Az Ramlee Az Salleh, 45, berharap kerajaan mempunyai mekanisme bagi membantu peniaga sepertinya mendapatkan bekalan telur pada harga berpatutan, selepas menamatkan subsidi telur. 

Di SARAWAK,  peruncit Teo Chun Ping, 55, berkata pengurangan subsidi itu memberi cabaran baharu kepada peniaga kecil bagi menghadapi kos operasi yang meningkat.

“Kami mungkin terpaksa rombak strategi perniagaan seperti tawar promosi atau diskaun untuk produk lain demi mengekalkan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418360