AM

Perintah Pemaparan Harga Ubatan Di Klinik Dan Hospital Swasta Berkuat Kuasa Esok

30/04/2025 07:52 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti akan berkuat kuasa esok selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan akan berkerjasama bagi melaksanakan inisiatif itu melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011(Akta 723).

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif tersebut untuk memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.

"Skop penandaan harga ubat merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi dan sebaliknya, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan yang dibancuh.

"Penandaan harga ubat hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai harga atau tanda harga. Ubat-ubatan yang dipamerkan untuk jualan dan boleh diakses oleh pengguna, hendaklah dilabel, tag atau tanda harga pada ubat tersebut," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter dan tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula hendaklah dipaparkan senarai harga jualan sama ada dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.

Kenyataan itu memaklumkan fasa awal pemantauan dan penguatkuasaan inisiatif berkenaan akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa untuk tempoh tiga bulan.

"Langkah ini diambil untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan secara berhikmah, ihsan dan berkesan bagi membolehkan setiap fasiliti kesihatan swasta membuat penyesuaian dan pembaharuan secara berperingkat.

"Pemeriksaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan pendekatan advokasi bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini. Penguatkuasaan penandaan harga ubat-ubatan akan dilaksanakan oleh KKM dengan panduan dan kerjasama KPDN," menurut kenyataan itu.

Orang ramai boleh mengakses soalan lazim berkaitan Inisiatif Penandaan Harga Ubat melalui portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, KKM di www.pharmacy.gov.my atau email sebarang persoalan ke alamat chu@moh.gov.my.

Bagi sebarang aduan berkaitan isu harga ubat boleh disalurkan melalui platform Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM di pautan https://moh.spab.gov.my atau atau portal eAduan KPDN, https://eaduan.kpdn.gov.my/.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2418392