APIRC Sasar Bangunkan 12 PKS Tempatan, Tarik Pelaburan RM8.5 Bilion Menjelang 2030
GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Sebanyak 12 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan disasarkan dibangunkan dalam ekosistem pembungkusan termaju dan menarik pelaburan baharu bernilai RM8.5 bilion menjelang 2030, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata sasaran itu akan dilaksanakan menerusi Advanced Packaging Institute and Research Centre (APIRC), antara komponen utama Pusat Teknologi dan Inovasi NCER (NTIC) yang dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Katanya NCIA memainkan peranan sebagai rakan strategik dan pemudah cara dalam membangunkan ekosistem teknologi berkenaan, yang menghimpunkan kerajaan, industri, universiti, institusi penyelidikan serta syarikat teknologi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Menjelang 2030, kita mengharapkan kemudahan ini berjaya menghasilkan nilai tambah sebanyak RM8.5 bilion, selain melahirkan 12 syarikat tempatan dalam ekosistem pembungkusan termaju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NTIC di sini hari ini.
Beliau berkata APIRC akan memberi tumpuan kepada penyelesaian pembungkusan termaju, merangkumi proses reka bentuk hingga penghasilan prototaip, selain berfungsi sebagai platform pemadanan teknologi dan perniagaan.
Menurutnya, pusat itu akan menghubungkan syarikat tempatan dengan syarikat multinasional bagi mengkomersialkan harta intelek, membangunkan produk baharu serta meningkatkan keupayaan tempatan dalam rantaian nilai yang lebih tinggi.
Akmal Nasrullah berkata NTIC menghimpunkan pihak industri, akademia, institusi penyelidikan dan kerajaan dalam satu ekosistem bagi mempercepat pembangunan bakat berkemahiran tinggi, penyelidikan dan pembangunan, inovasi serta pengkomersialan teknologi.
“Semikonduktor bukan sesuatu yang baharu atau asing kepada Malaysia, khususnya Pulau Pinang kerana industri ini telah bertapak selama lebih lima dekad,” katanya.
Bagaimanapun, katanya keupayaan negara perlu ditingkatkan supaya dapat bergerak kepada segmen rantaian nilai yang lebih tinggi termasuk reka bentuk litar bersepadu, reka bentuk sistem, pembungkusan termaju, automasi, penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan.
Beliau berkata kira-kira 60 peratus ruang di NTIC telah digunakan, dengan beberapa syarikat seperti Silicon Connect, Tessolve, ECTrons, Global Electronics Association, Steerix, Elliance dan FusionAP telah beroperasi di pusat itu.
Akmal Nasrullah berkata meskipun NTIC berpusat di Pulau Pinang, manfaatnya turut dijangka dirasai Kedah, Perlis dan Perak menerusi peluang rantaian bekalan, penyertaan PKS, latihan bakat, kerjasama industri dan pelaburan berkualiti.
Katanya pembangunan industri bernilai tinggi tetap menjadi tumpuan jangka panjang kerajaan walaupun negara sedang berdepan cabaran krisis bekalan global.
-- BERNAMA