BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI terus perkasakan SPRM, pastikan rasuah dibanteras tanpa kompromi - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Kenaikan Harga Minyak Kacang Soya CBOT

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini berikutan harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) ketika waktu dagangan Asia, kata peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata prestasi eksport yang lebih kukuh baru-baru ini turut menyokong sentimen pasaran dalam jangka pendek.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,500 satu tan dan paras rintangan pada RM4,680 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing meningkat RM11 kepada RM4,461 dan RM4,509 satu tan manakala Ogos 2026 naik RM13 kepada RM4,551 satu tan.

Kontrak September 2026 naik RM14 kepada RM4,592 satu tan, Oktober 2026 melonjak RM17 kepada RM4,632 satu tan dan November 2026 menambah RM12 kepada RM4,661 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 59,067 lot berbanding 96,730 lot pada Rabu manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 277,876 kontrak daripada 285,884 kontrak sebelum ini.

Sementara itu, harga fizikal MSM bagi Jun Selatan meningkat RM20 kepada RM4,520 satu tan.

-- BERNAMA