BERITA TERKINI   Presiden dan CEO Kumpulan Malaysia Aviation Group Kapten Nasaruddin A. Bakar dilantik sebagai ahli lembaga gabenor IATA  | Pemimpin agama perlu tangani keperluan golongan muda berdepan ancaman maklumat palsu didorong oleh AI - Sultan Perak | Keamanan dinikmati Malaysia kini membuktikan toleransi, keharmonian antara agama boleh dicapai - PM Anwar | Islam adalah agama Persekutuan, perlu pastikan setiap warganegara berasa selamat, dilindungi dan dihormati sama rata - PM Anwar | Pemimpin agama kekal relevan sebagai suara hati nurani, kewarasan dan toleransi dalam dunia pascanormal - PM Anwar | 

Kesiapsiagaan Akar Umbi Hadapi El-Nino Mesti Diperkukuh - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kesiapsiagaan di peringkat akar umbi dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mengharungi kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang hari ini meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengenai fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.

“Mesyuarat bersetuju agar METMalaysia segera memperhebat usaha penerangan dan turun ke semua negeri bagi menyampaikan taklimat serta pencerahan yang menyeluruh,” kata beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata MTEN turut meneliti pembentangan daripada Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) mengenai hala tuju syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas negara.

“Kerajaan berpandangan bahawa urusan perniagaan serta pengembangan industri wajar dipacu oleh kecekapan, ketangkasan dan kebijaksanaan para penggiat industri sendiri, dengan kerajaan terus menyediakan dasar yang jelas, kondusif dan menyokong pertumbuhan,” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata Kerajaan MADANI akan terus berikhtiar dengan penuh kebijaksanaan dan berpandangan jauh dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia, ketegangan geopolitik serta pelbagai krisis global yang kian mencabar.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terjaga manakala ekonomi negara kekal mampan, berdaya tahan dan teguh menghadapi sebarang cabaran mendatang.

-- BERNAMA