Program Bank Rakyat BizMatch Di Tokyo Berpotensi Jana Urus Niaga Lebih RM500 Juta - Sim

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Program Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great yang berlangsung di Tokyo, Jepun sempena Nikkei Forum Future of Asia 2026 berpotensi menjana urus niaga melebihi RM500 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong dalam satu kenyataan hari ini berkata potensi itu diperoleh hasil sesi padanan perniagaan dan perbincangan yang berlangsung pada 9 Jun lepas di antara syarikat Malaysia dengan Jepun.

Beliau berkata program anjuran Bank Rakyat dengan sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menghimpunkan tujuh syarikat Malaysia bersama-sama 27 syarikat Jepun bagi meneroka peluang kerjasama.

Menurut Sim, turut diteroka peluang kerjasama dalam pengembangan pasaran pelbagai sektor termasuk makanan, pertanian, pembuatan berasaskan komoditi dan teknologi hijau.

“Berdasarkan sesi padanan perniagaan dan perbincangan yang berlangsung pada 9 Jun lepas, program itu berpotensi menjana urus niaga melebihi RM500 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang tertakluk kepada rundingan lanjut, proses kelayakan produk, kelulusan kawal selia dan pemeteraian perjanjian komersial,” jelasnya.

Beliau memberitahu lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bukan sahaja memberi tumpuan kepada pelaburan berskala besar dan syarikat multinasional, malah membuka peluang perniagaan baharu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia untuk mengembangkan pasaran mereka ke peringkat antarabangsa.

Jelas Sim, KUSKOP terus memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan PMKS Malaysia terutama ketika dunia masih berdepan kesan krisis bekalan global akibat konflik geopolitik dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

“Pendekatan strategik ini selari dengan kerangka ABCD KUSKOP, khususnya komponen D iaitu Drive Market Acces yang memberi penekanan kepada usaha memperluas akses pasaran, membina jaringan perniagaan antarabangsa dan membuka peluang eksport kepada syarikat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata usaha berterusan itu mula membuahkan hasil apabila sesi padanan perniagaan Make Malaysian Businesses Great yang diadakan sempena Makkah Halal Forum 2026 di Arab Saudi pada Februari lepas berjaya menjana potensi urus niaga bernilai RM2 bilion.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Bank Rakyat turut menyerahkan pembiayaan hampir RM300 juta kepada tujuh syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam program BizMatch bagi menyokong pengembangan operasi, peningkatan kapasiti pengeluaran dan penerokaan pasaran baharu.

-- BERNAMA