MIGHT Bentang Laporan Industri Rel Malaysia 2025/2026 Bagi Perkukuh Pembangunan, Daya Saing

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) hari ini membentangkan Laporan Industri Rel Malaysia 2025/2026.

Laporan itu yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah menandakan satu pencapaian penting dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk membina industri rel yang berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

Selain itu, ia turut menandakan aspirasi Malaysia dalam memperkukuh penyertaan tempatan di seluruh rantaian nilai rel.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan MIGHT menyatakan laporan berkenaan merupakan sebuah penerbitan komprehensif yang menyediakan penilaian berasaskan bukti mengenai keupayaan industri rel Malaysia, kekuatan ekosistem, peluang serta keutamaan pembangunan masa depan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata laporan itu berfungsi sebagai rujukan strategik bagi penggubal dasar, penggiat industri, pelabur dan penyelidik dalam memahami kedudukan semasa industri rel serta mengenal pasti bidang yang memerlukan tindakan kolektif.

Dapatan utama laporan tersebut mengetengahkan perkembangan keupayaan syarikat rel tempatan, peningkatan kemahiran dalam perkhidmatan kejuruteraan khusus serta penyelenggaraan selain menekankan kepentingan aspek inovasi, teknologi digital dan pemerkasaan bakat bagi memacu pertumbuhan sektor ini pada masa hadapan.

Memandangkan Malaysia terus memperluas dan memodenkan rangkaian relnya, laporan itu menekankan kepentingan mengguna pakai pendekatan keseluruhan ekosistem yang melibatkan kerajaan, industri, ahli akademik dan institusi penyelidikan bagi memacu daya saing serta kemampanan jangka panjang.

Dibangunkan melalui penglibatan meluas dengan pihak berkepentingan industri, agensi kerajaan, pengendali rel, ahli akademik dan penyedia teknologi, laporan berkenaan membentangkan gambaran keseluruhan yang holistik mengenai ekosistem rel Malaysia.

Ia merangkumi bidang-bidang utama seperti pembuatan, perkhidmatan kejuruteraan, operasi dan penyelenggaraan, integrasi sistem serta pendigitalan.

Laporan itu juga meneliti aspek pembangunan bakat dan keupayaan inovasi yang kritikal bagi pertumbuhan masa depan industri ini.

Majlis pelancaran laporan tersebut membuktikan komitmen berterusan MIGHT untuk memacu pertumbuhan industri strategik sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi sektor berteknologi tinggi dan berpaksikan inovasi.

Ia juga menyediakan rujukan bernilai untuk perancangan strategik, penggubalan dasar dan inisiatif pembangunan industri serta keputusan pelaburan yang bakal mencorak masa depan sektor rel negara.

-- BERNAMA