BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI terus perkasakan SPRM, pastikan rasuah dibanteras tanpa kompromi - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Ketegangan Asia Barat, Jualan Saham Teknologi Jejas Pasaran Global

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan penurunan 0.82 peratus semasa ditutup hari ini, dengan kepelbagaian komposisi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) membantu mengurangkan impak kelemahan pasaran global.

Pasaran global dalam keadaan yang tidak menentu berikutan ketegangan geopolitik yang kembali memuncak di Asia Barat serta aktiviti jualan besar-besaran dalam saham teknologi global.

Pada 5 petang, FBM KLCI ditutup rendah 13.91 kepada 1,679.52 daripada 1,693.43 semasa ditutup Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 9.89 mata kepada 1,683.54 dan diniagakan antara 1,676.95 dan 1,684.14 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 916 berbanding 340 manakala 455 kaunter tidak berubah, 964 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat secara beransur-ansur kepada 3.48 bilion unit bernilai RM2.92 bilion daripada 3.41 bilion unit bernilai RM3.04 bilion pada Jumaat lepas.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong menyusut 1.22 peratus kepada 24,657.06, Indeks Straits Times Singapura susut 1.65 peratus kepada 4,966.47, Nikkei 225 Jepun merosot 3.85 peratus kepada 64,024.60 dan Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan, yang dagangannya dihentikan sementara selepas menyusut lebih lapan peratus berkurangan 8.29 peratus kepada 7,484.41.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata Bursa Malaysia menunjukkan daya tahan yang ketara berbanding bursa serantau lain walaupun ditutup dalam wilayah negatif.

“Penurunan FBM KLCI adalah jauh lebih kecil berbanding pasaran utama serantau seperti Korea Selatan, Taiwan, Jepun, Vietnam dan Singapura, yang mengalami tekanan lebih besar dalam persekitaran mengelakkan risiko global,” katanya.

Mohd Sedek berkata FBM KLCI kurang didominasi oleh saham teknologi berbanding kebanyakan indeks penanda aras serantau.

“Walaupun pasaran yang banyak dipengaruhi teknologi lebih terdedah kepada pembetulan mendadak saham semikonduktor Amerika Syarikat (AS) dan saham berkaitan kecerdasan buatan (AI), komposisi FBM KLCI yang pelbagai membantu mengurangkan kesan kejutan luaran,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata harga minyak mentah Brent meningkat melebihi US$97 setong susulan kebimbangan terhadap gangguan bekalan.

"Bagi Bursa Malaysia, pelabur masih berhati-hati berikutan potensi kesan kenaikan harga minyak terhadap inflasi global dan jangkaan kadar faedah akibat ketegangan geopolitik," katanya.

Beliau berkata jualan berterusan oleh pelabur asing serta ketiadaan pemangkin pasaran yang kukuh dijangka terus menjejaskan sentimen dalam tempoh terdekat.

“Walaupun aktiviti pembelian saham pada harga rendah mungkin berlaku dari semasa ke semasa selepas pembetulan pasaran baru-baru ini, pelabur dijangka kekal memilih dalam persekitaran luaran yang tidak menentu.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI terus tidak menentu dan bergerak dalam julat 1,670 hingga 1,690 sepanjang minggu ini,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 10 sen kepada RM10.70, Public Bank menyusut sembilan sen kepada RM4.78, Tenaga Nasional menambah enam sen kepada RM14.20, IHH Healthcare rendah 25 sen kepada RM8.60 manakala CIMB tidak berubah pada RM7.39.

Bagi saham aktif, Zetrix AI susut setengah sen kepada 82 sen, TFP Solutions meningkat 2.5 sen kepada 5.5 sen, Top Glove meningkat tiga sen kepada 84.5 sen manakala Hong Seng Consolidated dan VS Industry masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 21 sen.

Bagi kaunter paling untung, Concrete Engineering melonjak 65 sen kepada RM3.99, Ideal Capital naik 30 sen kepada RM4.10, PJBumi meningkat 18 sen kepada RM3.45 dan Kim Loong naik 15 sen kepada RM2.70.

Antara kaunter paling rugi, Nestle susut RM2.28 kepada RM92.00, Malaysian Pacific Industries menyusut RM1.30 kepada RM45.50, Petronas Dagangan rendah 64 sen kepada RM18.60 dan Tanco berkurangan 47 sen pada RM1.12.

Hong Leong Bank susut 36 sen kepada RM20.96 dan Hong Leong Financial menyusut 34 sen kepada RM18.50.

Sementara itu, saham teknologi, Nationgate Holdings rendah 3.5 sen kepada 76 sen, ViTrox Corporation susut 16 sen kepada RM6.74, Northeast Group berkurangan enam sen kepada RM1.00, Frontken Corporation rendah 11 sen kepada RM4.81, Inari Amerton berkurangan dua sen pada RM2.23 dan Unisem turun 17 sen pada RM4.90.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 131.97 mata kepada 12,470.08, Indeks FBM Top 100 susut 126.41 mata kepada 12,315.49 dan Indeks FBM Emas Shariah menyusut 127.11 mata kepada 12,443.04.

Indeks FBM Mid 70 rendah 289.20 mata kepada 18,010.39 dan Indeks FBM ACE menyusut 84.86 mata kepada 4,648.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 223.82 mata kepada 19,560.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.73 mata kepada 197.01 dan Indeks Tenaga berkurangan 5.26 mata kepada 790.94 manakala Indeks Perladangan meningkat 53.86 mata kepada 8,725.40.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.68 bilion unit bernilai RM2.53 bilion daripada 1.78 bilion unit bernilai RM2.67 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.25 bilion unit bernilai RM188.07 juta daripada 1.07 bilion unit bernilai RM158.92 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 545.18 juta unit bernilai RM194.35 juta daripada 557.48 juta unit bernilai RM208.90 juta pada Jumaat.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 208.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (360.98 juta), pembinaan (132.83 juta), teknologi (357.16 juta), perkhidmatan kewangan (62.68 juta), hartanah (184.68 juta), perladangan (31.26 juta), amanah pelaburan hartanah (15.12 juta), dana tertutup (295,200), tenaga (106.22 juta), penjagaan kesihatan (109.30 juta), telekomunikasi dan media (42.90 juta), pengangkutan dan logistik (28.35 juta), utiliti (39.97 juta) dan amanah perniagaan (27,300).

-- BERNAMA