Bursa Malaysia Akhiri Sesi Dagangan Pagi Lebih Tinggi

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan kukuh hari ini, disokong aktiviti belian berterusan saham wajaran tinggi, khususnya kaunter produk dan perkhidmatan pengguna serta perladangan.

Penganalisis berkata minat belian dalam saham perladangan disokong oleh jangkaan bekalan minyak sawit yang lebih terhad susulan Indonesia melengkapkan ujian automotif bulan ini menjelang pelaksanaan mandat biodiesel B45/B50, selain kebimbangan bermusim terhadap kemungkinan berlakunya fenomena El Niño antara Jun hingga Ogos.

Pada 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.75 mata atau 0.75 peratus kepada 1,696.01 berbanding 1,683.26 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 3.19 mata lebih tinggi pada 1,686.45 dan bergerak dalam julat 1,684.36 hingga 1,698.53 sepanjang sesi pagi.

Bagaimanapun, sentimen pasaran kekal negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 572 berbanding 405, manakala 548 kaunter tidak berubah, 1,150 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangan.

Jumlah dagangan berjumlah 1.85 bilion saham bernilai RM1.40 bilion.

Dalam kalangan kaunter perladangan, United Plantations meningkat 86 sen kepada RM32.16, manakala IOI Corporation dan Sime Darby masing-masing menambah dua sen kepada RM4.20 dan RM2.05. Johor Plantations Group pula naik tiga sen kepada RM1.73.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok 18 sen kepada RM10.78, Public Bank dan CIMB masing-masing meningkat sembilan sen kepada RM4.87 dan RM7.44. Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM14.18 manakala IHH Healthcare naik dua sen kepada RM8.81.

Dalam kalangan saham aktif, Zertrix meningkat setengah sen kepada 83 sen, CBH Engineering menambah 5.5 sen kepada 67.5 sen, manakala Advance Synergy tidak berubah pada lapan sen. GIIB susut setengah sen kepada 46.5 sen dan Pharmaniaga turun satu sen kepada 28 sen.

Bagi kaunter untung utama, Concrete Engineering melonjak 55 sen kepada RM3.20, Petronas Dagangan meningkat 38 sen kepada RM19.16, Hong Leong Bank menambah 22 sen kepada RM21.20 dan Dutch Lady naik 18 sen kepada RM32.90.

Dalam kalangan kaunter rugi utama, Nestle merosot RM1.10 kepada RM94.02, Malaysian Pacific Industries susut 38 sen kepada RM47.06, UMS Integration kehilangan 23 sen kepada RM8.00, Kelington turun 28 sen kepada RM7.62 dan Fraser & Neave berkurangan 56 sen kepada RM26.32.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 61.05 mata kepada 12,622.57, Indeks FBM Top 100 naik 64.26 mata kepada 12,462.19 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 22.88 mata kepada 12,595.53.

Sementara itu, Indeks FBM Mid 70 susut 30.78 mata kepada 18,335.16 dan Indeks FBM ACE turun 11.82 mata kepada 4,712.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 240.28 mata kepada 19,785.78, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.55 mata kepada 198.98, Indeks Tenaga menambah 5.51 mata kepada 797.89, manakala Indeks Perladangan meningkat 14.71 mata kepada 8,713.66.

-- BERNAMA