Kerjasama Serantau Penting Dalam Optimumkan Sumber, Pacu Pelaburan Jangka Panjang Sektor Tenaga
KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kerjasama serantau akan menjadi faktor penting dalam mengoptimumkan sumber dan mewujudkan pasaran yang lebih kukuh bagi menyokong pelaburan jangka panjang dalam sektor tenaga, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata tiada negara yang mampu mencapai kemajuan secara bersendirian, sambil menegaskan bahawa trajektori pertumbuhan Malaysia dan negara-negara serantau perlu disokong oleh infrastruktur serta keupayaan yang mencukupi bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan secara mampan.
“Bakat dan tenaga kerja juga tidak kurang pentingnya. Sistem yang kita bina hanya akan menjadi sekuat individu yang menggerakkannya.
“Justeru, pembangunan keupayaan, peningkatan kemahiran semula serta usaha menarik generasi baharu menyertai sektor tenaga dan digital perlu dijadikan keutamaan strategik,” katanya dalam ucapan penutup pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) semalam.
Beliau berkata antara keutamaan lain termasuk memodenkan rangkaian sedia ada serta memastikan kapasiti bekalan berkembang seiring dengan integrasi tenaga boleh baharu dan peningkatan permintaan elektrik.
“Pada masa sama, kebangkitan kecerdasan buatan (AI) menuntut pendekatan yang lebih bertanggungjawab dalam penggunaannya.
“Infrastruktur yang menyokong teknologi pintar itu juga perlu selaras dengan matlamat kemampanan yang telah ditetapkan,” katanya.
ETCon26 menerima kehadiran 4,000 pengunjung dan menyaksikan 15 kerjasama strategik dimeterai sepanjang persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu.
-- BERNAMA