BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI terus perkasakan SPRM, pastikan rasuah dibanteras tanpa kompromi - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Ditutup Kukuh Disokong Aktiviti Belian Saham Berharga Rendah

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup kukuh hari ini, mengatasi prestasi pasaran serantau yang rata-ratanya lebih lemah, apabila sentimen tempatan disokong oleh aktiviti membeli saham berharga rendah dalam saham mewah susulan penurunan indeks petunjuk pasaran itu, baru-baru ini. 

Pengarah strategi pelaburan dan ahli ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata Bursa Malaysia pulih daripada penurunan semalam walaupun prestasi lemah di pasaran serantau yang dipengaruhi oleh penurunan di Wall Street semalaman.

Prestasi lemah di Wall Street itu disebabkan oleh kebimbangan inflasi berterusan di Amerika Syarikat (AS) boleh mengehadkan skop penurunan kadar Rizab Persekutuan AS dalam tempoh terdekat.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.52 mata, atau 0.62 peratus, kepada 1,683.26 daripada paras 1,672.74 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu, yang dibuka tinggi naik 1.75 mata kepada 1,674.49, bergerak antara paras 1,673.70 dan 1,689.83 sepanjang hari dagangan.

Walaupun indeks utama mencatatkan kenaikan, namun suasana pasaran kekal negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 678 berbanding 525, manakala 531 kaunter tidak berubah, 924 tidak diniagakan dan 12 digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.47 bilion unit bernilai RM3.58 bilion daripada 3.85 bilion unit bernilai RM4.69 bilion pada Rabu.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 1.48 peratus kepada 25,253.40, Indeks Straits Times Singapura susut 1.38 peratus kepada 5,067.53, Nikkei 225 Jepun berkurangan 1.36 peratus kepada 67,470.69 dan Indeks Komposit KOSPI Korea menyusut 1.84 peratus kepada 8,639.41.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata harapan untuk melihat kemajuan dalam rundingan AS-Iran semakin pudar selepas terdapat laporan bahawa Tehran telah menggantung perbincangan tidak langsung dengan Washington.

"Di dalam negara, sentimen masih rapuh apabila pelabur asing terus mengurangkan pegangan mereka di tengah-tengah ketidakpastian global yang berlarutan.

“Walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah dijangka terus memberikan sedikit sokongan kepada pasaran, namun pelabur berkemungkinan akan mengambil pendekatan berpilih di tengah-tengah kebimbangan terhadap perkembangan geopolitik, tinjauan kadar faedah global dan arah aliran dana asing,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank melonjak 18 sen kepada RM10.60, Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.78, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.10, CIMB mengukuh 15 sen kepada RM7.35, dan IHH menambah tiga sen kepada RM8.79.

Dalam kalangan saham aktif, Pharmaniaga meningkat 3.5 sen kepada 29 sen, SKP Resources naik 2.5 sen kepada 37.5 sen, manakala VS Industry dan Velesto turun setengah sen masing-masing pada 21.5 sen dan 30 sen, dan Zetrix tidak berubah pada 82.5 sen.

Sementara itu dalam kalangan kaunter mencatatkan untung tertinggi, Nestle melonjak RM1.60 kepada RM95.12, United Plantations meningkat RM1.18 kepada RM31.30, KL Kepong naik 70 sen kepada RM20.20, Batu Kawan menambah 56 sen kepada RM20.16, dan SD Guthrie naik 20 sen kepada RM6.04.

Dalam kalangan saham paling rugi, Malaysian Pacific Industries susut RM1.46 kepada RM47.44, Fraser & Neave turun 78 sen kepada RM26.88, Press Metal berkurangan 28 sen kepada RM9.00, manakala UWC dan Pentamaster merosot 26 sen masing-masing kepada RM5.61 dan RM4.25.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.84 mata kepada 12,561.52, Indeks FBM Top 100 menokok 50.43 mata kepada 12,397.93, tetapi Indeks FBM Emas Shariah menyusut 8.72 mata kepada 12,572.65.

Indeks FBM Mid 70 turun 40.27 mata kepada 18,365.95 dan Indeks FBM ACE susut 1.72 mata kepada 4,723.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 224.46 mata kepada 19,545.49, Indeks Tenaga meningkat 4.37 mata kepada 792.38, dan Indeks Perladangan melonjak 248.52 mata kepada 8,698.95, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.63 mata kepada 198.43.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.11 bilion unit bernilai RM3.29 bilion daripada 2.20 bilion unit bernilai RM4.34 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 933.20 juta unit bernilai RM131.84 juta daripada 969.97 juta unit bernilai RM115.65 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 428.13 juta unit bernilai RM162.39 juta daripada 671.50 juta unit bernilai RM228.81 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 250.78 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (517.74 juta), pembinaan (129.58 juta), teknologi (337.79 juta), perkhidmatan kewangan (81.94 juta), hartanah (138.34 juta), perladangan (59.57 juta), amanah pelaburan hartanah (47.66 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (181.20 juta), penjagaan kesihatan (250.02 juta), telekomunikasi dan media (45.36 juta), pengangkutan dan logistik (26.58 juta), utiliti (48.32 juta), dan amanah perniagaan (698,000).

-- BERNAMA