TNB Merealisasikan 4.3 GW Kapasiti Tenaga Boleh Baharu Bagi Menyokong Peralihan Tenaga
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) merealisasikan kapasiti tenaga boleh baharu terpasang sebanyak 4.3 gigawatt (GW) seiring dengan usaha syarikat utiliti itu untuk menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata syarikat itu kekal komited untuk memajukan peralihan negara ke arah masa depan rendah karbon melalui pelaburan dalam tenaga boleh baharu, pemodenan grid dan inisiatif ketersambungan tenaga serantau.
“TNB merealisasikan 4.3 GW kapasiti tenaga boleh baharu terpasang, menyumbang lebih daripada satu pertiga jumlah keseluruhan kapasiti tenaga boleh baharu negara,” kata beliau pada majlis pelancaran Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) di sini hari ini.
ETCon26 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Abdul Razak berkata TNB turut mengalu-alukan komitmen kerajaan sebanyak RM43 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) untuk memodenkan grid nasional, yang disifatkannya sebagai pemangkin utama kepada peralihan tenaga bersih Malaysia.
Beliau berkata pelaburan berskala besar itu bertujuan menaik taraf infrastruktur dan mempercepat peralihan negara kepada sistem tenaga bersih, termasuk kemudahan sambungan untuk menyokong permintaan tenaga bagi pusat data yang semakin meningkat.
Abdul Razak menambah dua projek solar utama yang diumumkan semasa persidangan itu bakal memperkukuh aspirasi tenaga bersih Malaysia, iaitu projek solar hibrid hidro terapung berkapasiti 785 megawatt puncak (MWp), yang dijangka menjadi yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara dan projek solar darat berkapasiti 750 MWp.
“Projek ini menunjukkan kejayaan merealisasikan memorandum persefahaman (MoU) terdahulu dalam menyokong aspirasi negara mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 atau lebih awal, di samping memastikan bekalan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai untuk pertumbuhan masa hadapan,” kata beliau.
Mengenai integrasi tenaga serantau, beliau berkata Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) berjaya menggandakan kapasiti perdagangan elektriknya daripada 100 megawatt (MW) kepada 200 MW pada awal tahun ini.
Beliau menambah TNB juga terlibat dalam usaha memperluas ketersambungan serantau melalui inisiatif seperti ketersambungan antara Vietnam-Malaysia-Singapura, cadangan talian penghantaran elektrik Malaysia-Singapura kedua dan ketersambungan antara Sarawak-Semenanjung Malaysia.
Abdul Razak juga berkata anak syarikat TNB, GSPARX, telah mencapai kapasiti solar terpasang sebanyak 224 MW, mencerminkan peningkatan penggunaan sistem solar di bumbung merentasi sektor kediaman, komersial dan industri.
“Hari ini, faktor-faktor asas yang mempengaruhi penawaran dan permintaan tenaga, serta rantaian bekalan global semakin dipengaruhi oleh peristiwa geopolitik terutamanya dengan perkembangan semasa di Asia Barat.
“Dalam konteks ini, cabaran di hadapan kita adalah jelas iaitu untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di samping memastikan sistem tenaga kita kekal selamat, boleh dipercayai, mampu milik dan pada masa yang sama mampu meneruskan perjalanan kita ke arah masa depan rendah karbon,” kata beliau.
Dianjurkan dari 3 hingga 5 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), ETCon26 merupakan persidangan penting yang diilhamkan oleh TNB. Ia menghimpunkan para pemegang taruh global untuk mempercepat pelaksanaan agenda peralihan tenaga negara.
Bertemakan “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, persidangan ini berteraskan tiga tonggak utama — Energy for AI, AI for Energy dan Energy Transition (ET) for People — untuk mencerminkan saling kebergantungan antara sistem tenaga dan teknologi digital.
-- BERNAMA