PM Anwar Rasmi ETCon26 TNB, Perkukuh Komitmen Malaysia Ke Arah Masa Depan Tenaga Lestari Dan Siaga AI
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Hari kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) Tenaga Nasional Bhd (TNB), menjadi detik penting apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan persidangan tersebut sekali gus memperkukuh komitmen Malaysia untuk membangunkan ekosistem tenaga yang lestari, berdaya tahan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
ETCon26 2026 meneruskan momentum persidangan sulung pada 2023 yang menyaksikan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Perdana Menteri.
Pada tahun ini, ETCon26 menekankan kepentingan peralihan tenaga yang bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi, inovasi teknologi dan kerjasama serantau bagi memastikan daya saing negara terus diperkukuh dalam jangka panjang selain menyerlahkan kemajuan Malaysia dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu.
TNB terus memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi NETR, termasuk melalui pembangunan solar berskala besar dan pelaburan berterusan untuk memodenkan grid nasional dengan teknologi digital.
PM Anwar Saksi Perjanjian Tenaga Boleh Baharu Antara TNB - DayOne
Antara tumpuan utama hari kedua ETCon26 ialah majlis pertukaran dokumen bagi Kontrak Bekalan Tenaga Dua Hala (BESC) di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) antara TNB dan DayOne, sebuah platform infrastruktur digital global yang beribu pejabat di Singapura.
Perjanjian ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia untuk memacu inovasi digital dan tenaga lestari, selari matlamat penyahkarbonan jangka panjang di bawah NETR.
Inisiatif ini yang turut menyokong agenda Negara AI 2030 Malaysia menggabungkan penjanaan solar berskala besar dengan sistem penyimpanan tenaga bateri bagi memastikan bekalan tenaga boleh baharu yang stabil dan berdaya harap bagi operasi digital yang menggunakan tenaga secara intensif.
Dialog Peringkat Tertinggi Menteri
Hari kedua ETCon26 turut menampilkan Dialog Peringkat Tertinggi Menteri bertemakan “Powering Malaysia’s Next Growth Chapter: Energy, Economy & Digital in Sync”, yang disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Perbincangan tersebut meneroka bagaimana pendekatan seluruh kerajaan dapat membuka ruang pertumbuhan ekonomi yang lestari selain memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya saing Malaysia sebagai negara yang siaga AI.
Antara perkara yang dibincangkan ialah penjajaran lebih baik dalam perancangan sistem tenaga, infrastruktur digital, dasar perindustrian dan pembangunan bakat.
Dialog ini turut menegaskan kepentingan kerjasama merentas sektor yang mengukuhkan peranan ETCon26 sebagai platform menghimpunkan pembuat dasar tenaga, ekonomi dan digital bagi menyokong agenda negara yang lebih selari dan berorientasikan masa depan.
Meneroka Masa Depan Tenaga ASEAN
Perbincangan hari kedua turut memberi tumpuan kepada masa depan tenaga di ASEAN. Ahli panel membincangkan kepentingan perdagangan tenaga rentas sempadan, penyelarasan kawal selia, pembiayaan lestari dan teknologi nuklear.
Perkara ini semakin penting ketika rantau ASEAN bergerak ke arah masa depan yang lebih saling terhubung, digital dan rendah karbon.
Antara sesi utama ialah “ASEAN Power Grid: From MOUs to Megawatts” yang menilai kesediaan ASEAN untuk melaksanakan perdagangan tenaga pelbagai hala pada skala besar.
Sesi ini turut mengenal pasti dasar, infrastruktur dan tindakan kawal selia yang diperlukan untuk merealisasikan sistem kuasa serantau yang benar-benar bersepadu.
Sesi lain yang turut mendapat perhatian ialah “Fueling AI’s Hunger: Powering ASEAN’s Next Era of Growth” yang membincangkan kesediaan sistem tenaga ASEAN dalam memenuhi peningkatan pesat permintaan elektrik yang dipacu oleh AI, pendigitalan dan pusat data.
Pada masa sama, perbincangan ini menekankan kepentingan memastikan pertumbuhan digital kekal selari dengan matlamat peralihan tenaga dan penyahkarbonan.
ETCon26 turut menampilkan perbincangan mantap mengenai peranan masa depan tenaga nuklear melalui sesi “Next-Generation Nuclear: Pioneering the Future” yang mana pakar dan peneraju industri menilai kesediaan teknologi nuklear generasi baharu serta syarat yang diperlukan untuk menjadikannya berdaya maju secara komersial.
Teknologi ini juga dilihat berpotensi menjadi sumber tenaga bersih alternatif bagi memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di rantau ASEAN. Perbincangan ini menegaskan keperluan kepada kerjasama serantau yang lebih kukuh, grid yang saling terhubung dan rangka dasar yang lebih terselaras.
Semua ini penting bagi memastikan ASEAN dapat mencapai jaminan tenaga, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan lestari dalam landskap global yang semakin kompleks.
Dalam konteks ini, peranan TNB sebagai penggiat industri utama kekal penting bagi terus menyokong dan memudah cara inisiatif kesalinghubungan rentas sempadan untuk mempercepat agenda peralihan tenaga di rantau ini.
Memacu Fasa Pertumbuhan Tenaga Seterusnya
Fasa seterusnya industri tenaga akan dibentuk oleh pendigitalan dan perkembangan pesat industri yang dipacu oleh AI.
Perkembangan ini akan terus meningkatkan permintaan elektrik dengan segmen permintaan baharu, khususnya pusat data, memerlukan bekalan elektrik yang stabil dan rendah karbon.
Pada masa ini, TNB menyokong 36 pusat data yang sedang beroperasi dengan bekalan elektrik berkapasiti kira-kira 4.5GW.
Susulan perkembangan ini, Malaysia kekal komited meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050 atau lebih awal lagi.
Komitmen ini penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dipacu AI, di samping mempercepat usaha penyahkarbonan di bawah NETR.
“Ketika permintaan tenaga daripada AI dan industri digital terus meningkat di peringkat global, ETCon26 memperkukuh cita-cita Malaysia untuk tampil sebagai peneraju serantau dalam membangunkan ekosistem tenaga yang lestari, berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.
“Melalui kerjasama pelbagai hala yang lebih kukuh, pemodenan grid dan inovasi tenaga bersih, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus memacu pertumbuhan lestari ASEAN,” kata Pengerusi TNB Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
-- BERNAMA