Pasaran Getah KL Cecah Paras Tertinggi Baharu 2026, Seiring Prestasi Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Pasaran Getah Kuala Lumpur mencatat peningkatan ketara pada akhir dagangan Rabu, sekali gus mencecah paras tertinggi baharu bagi 2026 setakat ini.

Peningkatan itu juga menjejaki prestasi sebahagian besar pasaran hadapan getah serantau selain susulan pengukuhan harga minyak mentah dan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia SMR 20 menokok 19.5 sen kepada 941.5 sen sekilogram manakala lateks pukal naik dua sen kepada 761 sen sekilogram.

Peniaga itu berkata sentimen semasa didorong oleh kekangan bekalan berterusan serta penyusutan pengeluaran di negara-negara pengeluar utama berikutan faktor cuaca selain ketegangan baharu AS dan Iran serta permintaan positif daripada sektor automotif dan pembuatan global.

“Namun, kenaikan seterusnya telah dikekang oleh kebimbangan mengenai tarif tambahan AS selain jangkaan dasar monetari lebih ketat di negara-negara ekonomi utama berikutan tekanan inflasi yang ketara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata faktor hujan lebat di selatan Thailand juga terus menjejaskan aktiviti penorehan getah manakala cuaca kering dan suhu tinggi di Indonesia dan Malaysia telah mengurangkan pengeluaran getah.

Pada masa sama, katanya, Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli memaklumkan pengeluaran getah asli global merosot kira-kira 2.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026 manakala penggunaan global menokok 2.3 peratus yang hanya membuktikan ketidakseimbangan antara bekalan dan permintaan yang terus ketara.

Faktor lain termasuk Indeks Pengurus Pembelian perkhidmatan China yang meningkat ke paras tertinggi dalam masa tiga bulan iaitu 54.4 pada Mei, sekali gus memaparkan aktiviti perniagaan lebih kukuh serta permintaan yang semakin baik.

“(Ini turut didorong oleh) pasaran automotif global yang kekal menyokong apabila pengeluar kenderaan elektrik dan bateri multinasional China, BYD, kembali mencatat pertumbuhan jualan pada Mei selain terus mengembangkan jejak di Eropah,” katanya.

Tidak ketinggalan, aktiviti pembuatan AS yang berkembang ke paras tertinggi dalam masa empat tahun yang menandakan permintaan perindustrian yang terus berdaya tahan.

Beliau berkata Indeks Pengurus Pembelian pembuatan ASEAN pula meningkat kepada 51.5 pada Mei, mencerminkan aktiviti pembuatan serantau lebih kukuh selain pertambahan pesanan baharu.

-- BERNAMA