BERITA TERKINI   GSF 2.0: 16 rakyat Malaysia menaiki sembilan kapal dipintas tentera Israel setakat pukul 8 malam - SNCC | Malaysia kecam keras tindakan biadab rejim Zionis tahan aktivis GSF, tuntut jaminan keselamatan dan pembebasan segera - PM Anwar | GSF 2.0: SNCC sahkan lapan rakyat Malaysia ditahan tentera Israel setakat pukul 6 petang waktu Malaysia | Dadah bernilai RM4.36 juta dirampas, 10 ditahan dalam operasi di Johor Bahru dan Batu Pahat - Polis | 

Untung Bersih Suku Pertama AEON Meningkat Kepada RM83.72 Juta

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- AEON Co (M) Bhd mencatat keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM83.72 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2026 berakhir pada 31 Mac, 2026 berbanding RM68.10 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, rangkaian gedung barangan am serta pasar raya itu memaklumkan peningkatan itu disumbangkan oleh gabungan produk yang lebih menggalakkan serta pendapatan lebih tinggi daripada segmen perkhidmatan pengurusan hartanah.

Peningkatan itu turut dipacu oleh aktiviti beli-belah musim perayaan yang giat, disokong oleh pengurusan kos yang berkesan serta disiplin operasi yang dipertingkatkan.

Perolehan hasil bagaimanapun susut kepada RM1.242 bilion pada suku pertama itu daripada RM1.244 bilion bagi tempoh sama 2025, didorong oleh pengurusan kos yang cekap serta peningkatan kecekapan operasi yang berkesan.

Pengarah Urusan AEON Tsugutoshi Seko berkata kumpulan itu kekal menumpukan usaha bagi memperkukuh asas-asas operasi serta memacu pemangkin pertumbuhan.

“Ini termasuk aspek seperti meningkatkan kecekapan, memperluaskan penawaran jenama persendirian serta mempertingkat penglibatan pelanggan menerusi program-program kesetiaan kami,” katanya.

Pada masa sama, kumpulan itu akan terus melonjakkan inisiatif kelestarian bagi menyokong aspek penciptaan nilai jangka panjang.

“Walaupun ketidaktentuan global dijangka terus mempengaruhi sentimen pengguna dan corak perbelanjaan, kami sebaliknya mengunjurkan permintaan kekal berdaya tahan, disokong oleh perbelanjaan ke atas barangan perlu, aktiviti dalam pusat beli-belah yang berterusan selain inisiatif rangsangan oleh kerajaan,” katanya.

Seko berkata kumpulan itu juga kekal menumpukan pelaksanaan keutamaan strategiknya, mengharungi cabaran yang sentiasa berubah serta memberikan nilai mampan jangka panjang untuk kalangan pemegang sahamnya.

-- BERNAMA