Bursa Malaysia Ditutup Pada Paras Terendah Harian, Jejaki Sentimen Lemah Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian pada Isnin, apabila tekanan jualan merebak merentas saham wajaran tinggi indeks utama susulan sentimen pelabur serantau yang berhati-hati serta minat risiko global yang hambar.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras susut 12.51 mata atau 0.72 peratus kepada 1,727.71 daripada 1,740.22 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras, yang dibuka 1.72 mata lebih tinggi kepada 1,741.94, bergerak antara 1,727.71 hingga 1,742.60 sepanjang dagangan hari ini.

Lingkungan pasaran adalah hambar dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 835 berbanding 410, manakala 512 kaunter tidak berubah, 957 kaunter tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.51 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 3.92 bilion unit bernilai RM3.46 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran masih mengalami tekanan susulan ketidaktentuan geopolitik yang semakin memuncak berkaitan konflik Amerika Syarikat-Iran.

Beliau berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS  lebih tinggi daripada jangkaan yang mengukuhkan kemungkinan persekitaran kadar faedah AS yang tinggi untuk tempoh lebih lama turut memberi tekanan kepada sentimen itu.

“Pasaran serantau mencatatkan penurunan susulan kebimbangan terhadap kenaikan harga minyak yang boleh terus merumitkan tinjauan inflasi global, manakala harga minyak mentah Brent terus meningkat disebabkan kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan,” katanya kepada Bernama.

Bagi peringkat tempatan, Mohd Sedek berkata penurunan didahului oleh kaunter pengguna dan telekomunikasi, manakala peningkatan masih dikekang dan tertumpu kepada saham petrokimia terpilih yang mendapat manfaat daripada harga tenaga yang lebih kukuh.

“Walaupun pasaran ditutup dengan prestasi rendah namun penurunan itu masih agak terkawal berbanding bursa serantau, disokong oleh pendedahan berkaitan komoditi Malaysia dan keadaan mudah tunai domestik yang kekal berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata prestasi FBM KLCI adalah selari dengan penurunan yang dicatatkan pasaran global apabila ketegangan AS-Iran yang masih belum selesai terus menjejaskan sentimen.

“Kami menasihatkan pelabur supaya sentiasa peka terhadap peluang belian semasa harga murah, khususnya bagi kaunter saham mewah yang kukuh dari segi asas, yang turut mengalami penurunan seiring pasaran secara keseluruhan.

“Walaupun sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan risiko geopolitik yang tinggi dan kenaikan harga minyak, penyusutan baru-baru ini mungkin secara beransur-ansur menarik aktiviti pengumpulan terpilih,” katanya.

Beliau berkata FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,720 hingga 1,750 minggu ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare naik satu sen kepada RM9.05, manakala Maybank turun dua sen kepada RM11.08, Public Bank dan CIMB masing-masing kurang lapan sen kepada RM4.83 dan RM7.80, manakala Tenaga Nasional susut 10 sen kepada RM14.44.

Antara saham paling aktif, Oppstar meningkat 14.5 sen kepada 93 sen, GIIB naik 1.5 sen kepada 30.5 sen, Top Glove menambah setengah sen kepada 32.5 sen, EG Industries mengukuh 11 sen kepada RM1.56, manakala V.S Industry turun setengah sen kepada 20 sen.

Bagi kaunter paling untung, MKH melonjak 27 sen kepada RM1.73, Vitrox Corporation naik 21 sen kepada RM6.20, Westports menokok 17 sen kepada RM5.98, manakala Hong Leong Industries dan Petronas Chemicals masing-masing naik 14 sen kepada RM18.48 dan RM5.73.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle merosot RM4.80 kepada RM95.40, Petronas Dagangan susut 76 sen kepada RM19.54, Malaysian Pacific Industries turun 60 sen kepada RM43.50, Petronas Gas menguncup 34 sen kepada RM17.84 dan Fraser & Neave kurang 30 sen kepada RM28.70.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 90.10 mata kepada 12,804.77, Indeks FBMT 100 turun 90.57 mata kepada 12,642.74, Indeks FBM Mid 70 merosot 127.50 mata kepada 18,377.51, Indeks FBM Emas Syariah kurang 73.78 mata kepada 12,749.07 dan Indeks FBM ACE menguncup 22.69 mata kepada 4,720.05.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 22.49 mata kepada 8,607.92, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.29 mata kepada 199.66, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 135.91 mata kepada 20,118.40 dan Indeks Tenaga turun 1.82 mata kepada 807.07.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.80 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 1.90 bilion unit bernilai RM3.06 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.02 bilion unit bernilai RM135.05 juta daripada 1.26 bilion unit bernilai RM176.50 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 684.71 juta unit bernilai RM254.32 juta berbanding 746.94 juta unit bernilai RM216.80 juta Jumaat lepas.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 255.68 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (402.61 juta), pembinaan (160.41 juta), teknologi (276.26 juta), perkhidmatan kewangan (56.71 juta), hartanah (233.17 juta), perladangan (43.43 juta), amanah pelaburan hartanah (14.26 juta), dana tertutup (5,000), tenaga (124.78 juta), penjagaan kesihatan (131.26 juta), telekomunikasi dan media (25.03 juta), pengangkutan dan logistik (41.67 juta), utiliti (38.20 juta) serta amanah perniagaan (30,700).

-- BERNAMA