BERITA TERKINI   PM Anwar lancar Skim PADURI MADANI, dana RM230 juta untuk usahawan wanita B40 | 6,680 individu termasuk 15 remaja diberi notis kesalahan buang sampah sejak Januari - Aiman Athirah | PM Anwar tegaskan kebenaran pelajar laluan UEC masuki IPTA dibuat bersyarat, seperti lulusan sekolah luar sistem pendidikan kebangsaan lain | KPM umum 12 inisiatif untuk warga pendidik sempena sambutan Hari Guru tahun ini - Fadhlina | Guru bina keyakinan, angkat maruah insan dan tanam harapan dalam kehidupan - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Dijangka Diniagakan Rendah Minggu Depan Berikutan Paras Stok Tinggi

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan rendah minggu depan berikutan paras stok yang tinggi dan aktiviti pengambilan untung.

Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata menurut data daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), stok minyak sawit Malaysia berada pada paras 2.3 juta tan bagi April, lebih tinggi berbanding paras bulan sebelumnya.

"Kedudukan stok yang tinggi menyebabkan niaga hadapan MSM dijangka mengalami penurunan minggu depan berikutan aktiviti pengambilan untung, dengan harga berkemungkinan berada antara RM4,200 hingga RM4,350 setan," katanya kepada Bernama.

Teh berkata spekulator pasaran juga berkemungkinan mengambil kesempatan daripada ketegangan geopolitik semasa yang melibatkan Amerika Syarikat, Iran dan Israel.

Beliau menambah permintaan fizikal dijangka daripada negara pengimport utama seperti China, India, Pakistan dan beberapa negara di Timur Tengah, memandangkan mereka terus meningkatkan simpanan stok masing-masing.

"Secara keseluruhan, industri minyak sawit di Malaysia dan Indonesia kekal menguntungkan kerana kos pengeluaran MSM di Malaysia adalah sekitar RM3,000 setan, manakala kos pengeluaran di Indonesia pula adalah lebih rendah," katanya.

Bagaimanapun, peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata niaga hadapan MSM berkemungkinan diniagakan dengan kecenderungan meningkat sedikit, disokong oleh pengukuhan terkini harga minyak mentah.

"Kenaikan harga minyak mentah telah melonjakkan harga minyak sawit, memandangkan komoditi tersebut digunakan secara meluas sebagai bahan mentah biodiesel.

"Sehubungan itu, kami menjangkakan komoditi berkenaan akan diniagakan antara RM4,300 hingga RM4,480 setan," katanya.

Pada ketika ini, minyak mentah Brent naik 2.49 peratus kepada US$108.30 setong.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2026 susut RM98 kepada RM4,380 setan, Jun 2026 merosot RM82 kepada RM4,390 setan, manakala Julai 2026 menguncup RM85 kepada RM4,420 setan.

Kontrak Ogos 2026 menyusut RM84 kepada RM4,437 setan, September 2026 jatuh RM77 kepada RM4,449 setan, manakala Oktober 2026 berkurangan RM67 kepada RM4,465 setan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 493,990 lot daripada 435,410 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka naik kepada 285,554 kontrak daripada 281,027 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mei Selatan susut RM190 kepada RM4,440 satu tan.

-- BERNAMA