BERITA TERKINI   Hari Muzium Antarabangsa: 19 muzium dibuka percuma kepada rakyat Malaysia pada 18 Mei ini ⁠- Aaron | PM Anwar lancar Skim PADURI MADANI, dana RM230 juta untuk usahawan wanita B40 | 6,680 individu termasuk 15 remaja diberi notis kesalahan buang sampah sejak Januari - Aiman Athirah | PM Anwar tegaskan kebenaran pelajar laluan UEC masuki IPTA dibuat bersyarat, seperti lulusan sekolah luar sistem pendidikan kebangsaan lain | KPM umum 12 inisiatif untuk warga pendidik sempena sambutan Hari Guru tahun ini - Fadhlina | 

Wasco Greenergy Pasang, Tauliah Sistem Tenaga Stim Biojisim Di Kilang Kertas Kajang

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Penyedia sistem tenaga boleh baharu (TBB), Wasco Greenergy Bhd, berjaya melakukan pemasangan dan mentauliahkan sistem tenaga stim biojisim di sebuah fasiliti rintis pembuatan kertas di Kajang, Selangor.

Usaha itu yang merangkumi keluasan binaan kira-kira 3,000 meter persegi, juga merupakan salah satu sistem tenaga stim biojisim terbesar di Malaysia.

Menerusi kenyataan hari ini, Wasco memaklumkan sistem itu direka dan dihasilkan oleh anak syarikatnya, Wasco Thermal Sdn Bhd (WTSB) dan dibangunkan untuk menyediakan penjanaan stim dan tenaga berkecekapan tinggi pada skala besar.

“Sistem itu menggunakan tandan kosong kelapa sawit yang telah dirawat sebagai bahan api dan direka untuk mencapai kadar penggunaan melebihi 80 peratus, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api konvensional serta grid elektrik nasional,” menurutnya.

Wasco memaklumkan sistem itu dijangka menjana sehingga 500,000 megawatt-jam (MWh) tenaga haba boleh baharu setiap tahun yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida secara signifikan sambil membantu pelanggan industri meningkatkan perancangan tenaga jangka panjang dan kecekapan operasi.

Pada masa sama, ini membuka peluang penjanaan kredit karbon dan mengukuhkan peranan biojisim dalam menyokong operasi industri rendah karbon.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasco Greenergy Lee Yee Chong berkata dengan membantu industri menukar sisa pertanian kepada sumber tenaga boleh dipercayai, kumpulan itu menyokong aspirasi Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta selaras dengan objektif Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030.

“Dalam masa sama, kami mempercepatkan peralihan ke arah sistem tenaga rendah karbon sambil membolehkan operasi pelanggan menjadi lebih berdaya tahan dan kos efektif,” katanya.

Menerusi perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta model “Build-Own-Operate” (BOO) yang inovatif, Wasco Greenergy menyediakan laluan fleksibel kepada pelanggan industri untuk mengguna pakai TBB.

“Projek itu telah menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang dua tahun lepas,” katanya.

-- BERNAMA