Sabah Electricity Sasar 400,000 Langganan Aplikasi Mudah Alih Baharu MySE+
KOTA KINABALU, 21 April (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyasarkan 400,000 langganan bagi aplikasi mudah alih MySE+ yang baharu dilancarkan, daripada 725,000 akaun pengguna sedia ada.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata aplikasi MySESB yang lama mempunyai kira-kira 270,000 pengguna, akan terus beroperasi sehingga hujung tahun untuk memastikan peralihan berjalan lancar sebelum ia ditamatkan secara berperingkat.
Beliau berkata MySE+ dibangunkan dengan kos kira-kira RM6 juta dan dijangka memberikan pulangan jangka panjang dari segi kepuasan pelanggan dan kecekapan operasi.
"Kami mengoperasikan aplikasi ini dalam fasa permulaan bulan lepas dan hasilnya positif. Aplikasi ini memberikan tumpuan kepada antara muka yang ringkas, mudah diakses dan mesra pengguna yang direka khusus untuk menghapuskan kekecewaan pengguna.
"Kami mahu memperkasakan pengguna kami. Dengan MySE+, mereka kini mempunyai sistem pengurusan berbilang akaun di mana pengguna boleh mendaftar dan mengurus akaun penyewa, memantau penggunaan bil, serta mengendalikan pelbagai hartanah kediaman secara serentak," katanya dalam sidang media selepas merasmikan prapelancaran aplikasi itu di sini hari ini.
Mohd Yaakob berkata aplikasi itu telah menunjukkan kecekapan dari segi pembayaran, dengan mendedahkan fasa permulaan sepanjang bulan lalu berjaya mengutip RM50 juta melalui pembayaran bil secara dalam talian.
"Pengguna kami juga boleh memantau bil bulanan dan memahami penggunaan elektrik mereka dengan lebih mudah. Ini juga dapat membantu memastikan tenaga elektrik digunakan dengan lebih cekap," katanya.
Beliau turut menekankan aplikasi itu meningkatkan titik sentuhan pelanggan secara ketara, terutamanya dalam melaporkan gangguan bekalan elektrik.
"Ciri aduan dalam talian membolehkan pengguna memantau kemajuan pemulihan melalui kemas kini secara langsung, sekali gus mengelakkan waktu menunggu yang lama di pusat panggilan kami. Ini memastikan pelanggan sentiasa mendapat maklumat terkini dan mengurangkan rasa tidak puas hati semasa berlakunya masalah teknikal," katanya.
Selain itu, beliau turut menyatakan MySE+ berupaya menangani cabaran geografi di Sabah dengan menyertakan fungsi luar talian.
"Pengguna di kawasan luar bandar dengan capaian internet yang terhad masih boleh melihat bil-bil terdahulu dan mengakses ciri-ciri tertentu secara luar talian, dengan data yang akan disegerakkan secara automatik sebaik sahaja sambungan internet tersedia," katanya.
Aplikasi ini boleh dimuat turun di kedua-dua platform iaitu Apple App Store untuk peranti iOS dan Google Play Store untuk peranti Android.
-- BERNAMA