Malaysia Perlu Beralih Kepada Pengurusan Bekalan, Kurangkan Pergantungan Luar
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada subsidi menyeluruh dan kawalan harga sebaliknya perlu mengalihkan tumpuan kepada pengurusan bekalan susulan kekangan bekalan yang berterusan, kata ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi.
Nungsari yang juga Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah berkata tumpuan juga perlu diberikan kepada langkah mengutamakan perbelanjaan serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Beliau berkata cabaran semasa pada asasnya disebabkan kekurangan bekalan terutama tenaga dan barangan keperluan asas, bukannya pergerakan harga.
“Daripada membahaskan harga, lebih baik bercakap mengenai isu sebenar iaitu bekalan. Kita perlu memastikan (bekalan) yang kita ada bertahan untuk tempoh yang panjang dan menguruskannya dengan lebih baik,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar Seminar Tinjauan Ekonomi Serantau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO): ASEAN di Persimpangan.
Beliau yang senada dengan gesaan terdahulu yang dibuat Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong itu menekankan mengenai kekangan fiskal serta keperluan untuk mengutamakan semula perbelanjaan.
Liew sebelum itu berkata penggunaan bahan api perlu dilakukan secara berhemat bagi memanjangkan tempoh penampan tenaga negara sehingga melepasi Jun.
Nungsari berkata tidak realistik untuk terus membelanjakan berbilion ringgit bagi mengekalkan mekanisme subsidi sedia ada dalam keadaan semasa.
“Kita tidak boleh terus membelanjakan berbilion ringgit hanya untuk mengekalkan sistem semasa. Keutamaan pada ini adalah untuk memanjangkan tempoh rizab kita dan memastikan bekalan keperluan penting bertahan lebih lama,” katanya.
Beliau berkata ruang fiskal yang terhad memerlukan pembuat dasar membuat pertimbangan yang sukar, termasuk memperuntukkan semula sumber sedia ada dan menumpukan sokongan kepada sektor yang paling terjejas, khususnya perniagaan kecil yang menghadapi peningkatan kos operasi.
Dalam masa sama, Nungsari yang juga ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), menekankan keperluan untuk mengurangkan kebergantungan kepada import, memandangkan Malaysia masih bergantung kepada sumber luar bagi bekalan penting termasuk makanan dan tenaga.
Beliau berkata walaupun bekalan makanan asas contohnya ayam dan telur masih mencukupi buat masa ini, peningkatan kos pengangkutan dan logistik berpotensi memberi kesan lebih meluas kepada ekonomi.
Nungsari berkata langkah meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga serta memperkukuh kapasiti pengeluaran domestik adalah penting, khususnya dalam sektor makanan bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap sebarang gangguan pada masa hadapan.
-- BERNAMA