MATRADE Tingkatkan Usaha Bantu Syarikat OGSE Pelbagaikan Pasaran Eksport

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sedang mempertingkatkan usaha untuk membantu syarikat perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas (OGSE) Malaysia meneroka pasaran baharu dan baru muncul di seluruh Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin.

Langkah itu adalah untuk membantu memperkukuh daya tahan syarikat dalam ketidakpastian global dan landskap rantaian bekalan antarabangsa yang sentiasa berubah, katanya.

“MATRADE mahu membantu firma OGSE Malaysia mengurangkan risiko penumpuan, pada masa sama mengekalkan pertumbuhan eksport jangka panjang,” kata MATRADE dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof berkata kepelbagaian pasaran semakin penting bagi pengeksport Malaysia yang mengemudi persekitaran perdagangan global lebih kompleks.

“Rantaian bekalan global sedang mengalami perubahan besar dan syarikat-syarikat di Malaysia harus menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan pasaran eksport mereka dan mengukuhkan keupayaan teknologi mereka.

“MATRADE memainkan peranan penting dalam membantu syarikat OGSE Malaysia mengakses pasaran baharu dan meletakkan diri mereka secara kompetitif di pentas global,” katanya.

Menerusi program seperti Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP) dan penyertaan dalam pameran industri global utama, MATRADE menyediakan syarikat Malaysia dengan pendedahan strategik, peluang pemadanan perniagaan dan akses kepada pembeli antarabangsa.

MATRADE memberi contoh, MIR Valve Sdn Bhd, syarikat OGSE Malaysia yang telah berjaya berkembang ke pasaran global dan mempamerkan keupayaan kejuruteraan Malaysia.

“Syarikat itu telah berkembang menjadi pengeluar injap kejuruteraan diiktiraf di peringkat global yang melayani pelanggan di lebih 40 negara dan telah menghantar lebih 36,000 produk injap di seluruh dunia dengan sokongan MATRADE,” katanya.

MATRADE berkata kumpulan itu juga memperoleh kontrak bernilai lebih RM10 juta baru-baru ini untuk projek Subsea Pipeline End Manifold (PLEM), membekalkan injap bebola dasar laut 48-inch Class 300 shutdown di India, antara injap bebola tergerak dasar laut terbesar di pasaran global.

Menurut MATRADE, projek itu disiapkan dengan menggunakan 100 peratus kepakaran bakat tempatan Malaysia, menunjukkan keupayaan sektor kejuruteraan Malaysia untuk menyediakan penyelesaian kompleks bagi projek tenaga antarabangsa.

Abu Bakar berkata pengembangan antarabangsa oleh syarikat OGSE Malaysia seperti MIR Valve mewujudkan kesan berganda merentasi rantaian bekalan tempatan.

“Projek global MIR Valve menyokong sekitar 65 perusahaan kecil dan sederhana Malaysia yang menyumbang kepada ekosistem pembuatan dan kejuruteraannya,” katanya.

-- BERNAMA