Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Berhati-hati Minggu Depan
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan secara berhati-hati minggu hadapan, memandangkan para peniaga menunggu perkembangan dan maklumat baharu berkaitan rundingan nuklear Amerika Syarikat (AS)-Iran.
AS dan Iran dijadual mengadakan satu lagi pusingan rundingan di Vienna minggu hadapan, selepas pegawai AS dan Iran bertemu di Geneva, Switzerland baru-baru ini bagi pusingan ketiga rundingan yang berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sebarang peningkatan ketegangan sepanjang hujung minggu ini boleh menyebabkan harga emas melonjak dengan mendadak pada awal minggu hadapan.
Hal ini kerana emas masih sangat sensitif terhadap perkembangan geopolitik, katanya kepada Bernama.
Bagi asas minggu ke minggu, kontrak Februari 2026 meningkat kepada US$5,174.10 setiap auns troy daripada US$5,046.30 setiap auns troy, manakala kontrak Mac 2026 naik kepada US$5,200.30 setiap auns troy daripada US$5,063.30 setiap auns troy.
Kontrak April dan Mei 2026 menokok kepada US$5,218.50 setiap auns troy daripada US$5,081.10 setiap auns troy sebelumnya, manakala kontrak Jun dan Ogos 2026 juga ditutup tinggi pada US$5,252.40 setiap auns troy berbanding US$5,115.00 setiap auns troy sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 56 lot daripada 26 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka naik kepada 116 kontrak daripada 98 kontrak sebelumnya.
Harga emas fizikal berada pada US$5,167.35 setiap auns troy berdasarkan penetapan oleh London Bullion Market Association pada 26 Feb, 2026.
-- BERNAMA