Malaysia Dijangka Alami Impak Daripada Premium Risiko Minyak Susulan Situasi As-Iran
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Prospek ekonomi Malaysia susulan ketegangan terkini Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan banyak bergantung sama ada berlaku gangguan fizikal ke atas penghantaran minyak mentah melalui Selat Hormuz, kata penganalisis.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sekiranya tiada sebarang gangguan dan perjalanan menerusi Selat Hormuz dapat diteruskan seperti biasa, impak ke atas Malaysia sebaliknya berkemungkinan dicetuskan daripada premium risiko geopolitik dalam harga minyak berbanding kejutan bekalan secara langsung.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata ini melibatkan perbezaan besar memandangkan dalam persekitaran premium risiko semata-mata, peningkatan harga minyak mentah adalah disebabkan oleh faktor keadaan tidak menentu yang ketara berbanding kerugian bekalan sebenar.
“Brent berkemungkinan menyaksikan aliran peningkatan walaupun bekalan global kekal utuh.
"Bagi Malaysia, implikasinya lebih kepada andaian yang tersirat berbanding senario kekurangan sebenar,” katanya.
Atas alasan itu, kata Innes, sebagai pengeluar hidrokarbon menerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Malaysia berpeluang meraih manfaat daripada harga minyak mentah yang lebih kukuh.
"Harga minyak yang lebih tinggi akan menyokong hasil eksport, pendapatan sektor huluan dan hasil berkaitan kerajaan.
"Imbangan perdagangan berkemungkinan besar bertambah baik dan ringgit juga mendapat sokongan berkaitan daripada terma perdagangan yang lebih kukuh,” katanya.
Bagaimanapun, pada masa sama, Innes mengingatkan peningkatan harga minyak tanpa sebarang gangguan bekalan, akan turut meningkatkan tekanan kos domestik.
“Namun, tanpa gangguan bekalan, kenaikan harga minyak lebih berperanan sebagai kos input daripada keuntungan luar jangka.
"Mekanisme penetapan harga bahan api domestik, sektor pengangkutan, penerbangan dan industri petrokimia tetap berdepan perbelanjaan operasi lebih tinggi. Selain itu, unjuran inflasi boleh meningkat yang sekali gus menyukarkan prospek dasar ekonomi,” katanya.
Keadaan itu, katanya, berpotensi mempengaruhi pendirian dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang cenderung mengambil pendirian lebih berhati-hati dalam aspek pelonggaran jika terdapat impak harga minyak itu ke atas Indeks Harga Pengguna (IHP).
Dari sudut perspektif pasaran ekuiti, Innes berkata impaknya lebih tidak sekata dengan kaunter saham berkaitan tenaga berkemungkinan meraih manfaat manakala sektor yang mudah terjejas dengan perubahan bahan api mengalami tekanan margin dan berpotensi mengekang keuntungan di Bursa Malaysia.
Pada masa sama, prestasi sebenar itu bukannya akibat faktor lonjakan langsung, tetapi lebih kepada dinamik keseimbangan.
Ekuiti berkaitan tenaga, terutama penggiat di sektor huluan, juga boleh mencatat prestasi memberangsangkan manakala sektor terdedah kepada (sebarang perubahan) kos bahan api dan input, termasuk syarikat penerbangan, pengendali pengangkutan, barangan pengguna bukan keperluan asas dan sektor pembuatan, mungkin menghadapi tekanan margin
"Ringkasnya, tanpa kejutan bekalan, pendedahan Malaysia mampu diurus. Peningkatan imbangan luaran di satu pihak manakala inflasi dan sensitif margin di satu lagi sudut,” katanya.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan pada Sabtu, dengan Israel atas alasan sebagai “serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi “menghapuskan ancaman”.
Serangan itu susulan tindakan Washington meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran agar mengurangkan program nuklearnya serta protes besar-besaran di Iran.
-- BERNAMA