Angka Pelaburan Tertinggi Bagi Johor Akan Diumumkan Tidak Lama Lagi - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 28 Feb (Bernama) — Satu jumlah pelaburan yang lebih ‘besar’ bakal diumumkan dalam masa terdekat, susulan perkembangan positif pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Beliau berkata setakat September tahun lepas, Johor telah merekodkan jumlah pelaburan RM91 bilion, iaitu yang tertinggi dalam negara bagi tempoh tersebut.

“Akan diumumkan satu angka yang lebih menakjubkan. Insya-Allah tidak lama lagi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) akan umumkan angka baharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, katanya, satu perbincangan mengenai hala tuju JS-SEZ diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Lee Ting Han. 

Mengulas lanjut mengenai pelaburan itu, Onn Hafiz berkata pencapaian memberangsangkan dalam jumlah pelaburan negeri adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam mempercepatkan pelaksanaan inisiatif strategik di bawah zon ekonomi khas itu.

Katanya, pelan induk JS-SEZ yang bakal dilancar dalam masa terdekat, akan memperincikan pelbagai usaha dan inisiatif bagi meningkatkan kegiatan ekonomi di kawasan tersebut.

“Dalam pelan induk itu nanti akan diumumkan pelbagai usaha dan inisiatif untuk meningkatkan lagi kegiatan ekonomi dalam JS-SEZ. Ini baru permulaan, banyak lagi yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata segala inisiatif itu dijangka memberi manfaat bukan sahaja kepada ekonomi negeri, malah secara langsung kepada rakyat Johor, khususnya dari segi peluang pekerjaan dan kemajuan perniagaan tempatan.

“Kita berada di landasan yang cukup betul untuk kemajuan Johor. Percayalah, akan ada peluang pekerjaan untuk anak-anak kita merealisasikan impian mereka di kampung halaman.

“Kepada syarikat dan pengusaha tempatan, akan ada peluang untuk melibatkan diri dalam rantaian global serta rantaian bekalan syarikat antarabangsa,” katanya.

— BERNAMA