BERITA TERKINI   Liga Super: Melaka 1-2 Terengganu | Liga Super: Negeri Sembilan 1-2 Imigresen | Liga Super: PDRM 1-0 Kelantan The Real Warriors | 

Keputusan Tarif AS Pacu Sentimen Pasaran, Positif Bagi Pasaran Malaysia -- Ahli Ekonomi

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid dan Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Tindakan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengehadkan kuasa unilateral presiden dalam urusan tarif sepertimana diputuskan pada Jumaat, dijangka memacu pemulihan ekonomi global serta sentimen pasaran, termasuk Malaysia.

Beberapa ahli ekonomi juga menyifatkan keputusan berkenaan akan memberi manfaat ke atas eksport, pasaran modal serta prospek mata wang Malaysia.

Bercakap kepada Bernama, Ketua  Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkatan keputusan mahkamah berkenaan membuktikan prinsip pengasingan kuasa masih berfungsi dengan berkesan di AS dan mampu mengehadkan dasar-dasar yang berpotensi memberi impak negatif ke atas ekonomi global.

Beliau berkata walaupun pentadbiran Presiden Donald Trump berkemungkinan meneliti kaedah bagi melaksanakan langkah-langkah susulan atas alasan perlindungan perdagangan, ini sebaliknya dijangka mengambil masa ketika risiko penurunan ekonomi dilihat kian mereda.

“Keadaan ini akan membolehkan ekonomi dunia berkembang pada kadar lebih ketara yang memberi manfaat kepada negara ekonomi terbuka seperti Malaysia,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata ini juga sejajar dengan data eksport terkini Malaysia yang mencatat pertumbuhan pada tahap mengatasi jangkaan iaitu pada 19.6 peratus bagi Januari 2026.

Pasaran kewangan global juga, katanya, pasti menyambut baik perkembangan berkaitan keputusan tarif AS itu yang turut memberi kesan kepada pasaran modal Malaysia, termasuk ekuiti serta bon manakala ringgit dapat terus mengukuh berbanding dolar AS.

 

Kejelasan perundangan berkaitan kuasa tarif

Sementara itu, ahli ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan keputusan Mahkamah Agung AS itu jelas memperincikan tarif sebagai sejenis cukai yang tidak boleh dikenakan secara unilateral atau sebelah pihak oleh Trump tanpa kelulusan Kongres  negara itu.

Walaupun presiden AS masih boleh meneruskan langkah tarif menerusi saluran perundangan, tindakan bergantung kepada perintah eksekutif hanya mendedahkan langkah berkenaan untuk dicabar secara undang-undang dan berpotensi mencetuskan ketidaktentuan terhadap aturan perdagangan.

“Sebarang langkah yang diputuskan menerusi kuasa eksekutif akan dicabar dan ini hanya menjejaskan kredibiliti mana-mana perjanjian yang telah dimeterai.

“Keputusan Mahkamah Agung AS itu juga membuktikan bahawa semua kutipan tarif itu perlu dikembalikan,” katanya.

Pada 20 Feb, 2026, Mahkamah Agung AS telah membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) yang menjadi asas tindakan Trump, termasuk membabitkan tarif timbal balas.

Ini sebaliknya disusuli dengan tindak balas Trump yang menandatangani perjanjian berkaitan tarif global sebanyak 10 peratus di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 yang mempunyai had tempoh selama 150 hari.

 

Pengeksport Malaysia pantau pelaksanaan dasar

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata keputusan mahkamah berkenaan tidak membatalkan atau rundingan semula aturan perdagangan sedia ada atau hak akses pasaran, sebaliknya mengehadkan asas perundangan di bawah IEEPA yang sebelum ini digunakan sebagai asas mengenakan tarif secara meluas.

Beliau berkata AS telah bertindak balas dengan menggunakan Seksyen 122 untuk melaksanakan duti import global sementara sebanyak 10 peratus yang disifatkan sebagai perubahan mekanisme perundangan dan bukan penyusunan semula hubungan perdagangan.

“Ini bermakna aturan perdagangan Malaysia kekal sah dan tidak terjejas. Tumpuan pengeksport Malaysia sepatutnya kepada memantau pelaksanaan dasar dan bukan menjangkakan akses pasaran AS terjejas berdasarkan keputusan mahkamah itu sahaja.

“Tarif baharu 10 peratus ini lebih sebagai duti sementara yang merangkumi seluruh ekonomi dan bukannya penalti khusus ke atas negara atau barangan tertentu. Ini penting untuk Malaysia kerana pengeksport tidak disentuh secara khusus di bawah kerangka baharu berkenaan,” katanya kepada Bernama.

 

Tarif sementara hadkan impak daya saing

Menjelaskan selanjutnya, Mohd Sedek berkata oleh kerana langkah itu bersifat sementara sehingga 150 hari, impak ke atas aturan perdagangan dan jumlah eksport dijangka lebih terhad dalam jangka pendek.

Keadaan itu, katanya, berlaku ketika perniagaan berdepan ketidaktentuan kos serta perancangan yang lebih didorong oleh sentimen berbanding gangguan penting dalam hubungan perdagangan.

Dari segi daya saing, Mohd Sedek tidak menjangkakan perubahan besar dalam jangka terdekat berikutan ciri tarif global sementara yang seragam bagi semua negara pengeksport, sekali gus bermakna Malaysia tidak kehilangan daya saing relatif berbanding rakan serantau.

Beliau berkata ini juga berkaitan dengan kedudukan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan perantaraan di peringkat huluan dalam rantaian nilai global.

Justeru, sebarang impak lebih ketara dalam bentuk tekanan margin jangka pendek atau pelarasan penetapan harga berbanding permintaan untuk berpindah dari Malaysia selain faktor asas eksport Malaysia yang pelbagai serta integrasi dalam rantaian bekalan serantau yang menyokong daya tahan ekonomi negara ini.

Dalam pada itu, menerusi nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd berkata tarif sementara di bawah Seksyen 122 itu hanya mewujudkan apa disifatkan sebagai “peluang tarif lebih rendah” ketika langkah alternatif lain diteliti yang berpotensi mendorong pengimport AS membuat pembelian awal.

Bagi Malaysia, bank pelaburan itu menyatakan angka tarif global sebanyak 10 peratus itu adalah pengurangan sebanyak sembilan mata peratusan daripada kadar 19 peratus sebelum ini yang berpotensi mendorong momentum eksport jangka pendek.

Menurutnya, sektor yang dijangka meraih manfaat itu termasuk perkhidmatan pembuatan elektronik, sarung tangan dan beberapa teknologi terpilih.

Sejak pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) pada 26 Okt, 2025, Malaysia berulang kali telah menegaskan aspek kedaulatan, dasar autonomi serta kepentinga negara tetap dilindungi sepenuhnya di bawah ART Malaysia-AS.

Di bawah perjanjian itu, sebanyak 1,711 produk eksport Malaysia menikmati pengecualian tarif apabila memasuki pasaran AS, sekali gus dapat memacu daya saing harga dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global.

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia sedang menilai implikasi keputusan Mahkamah Agung AS berkenaan serta perkembangan perundangan dan dasar di negara maju itu.

Sambil merujuk kepada pengumuman Trump mengenai tarif sementara sebanyak 10 peratus, beliau berkata Malaysia sedang meneliti skop dan potensi kesannya.

“Pada masa ini, kita sedang menunggu penjelasan lanjut mengenai kaedah untuk langkah berkenaan akan dilaksanakan, dan sama ada pelarasan tambahan akan dibuat,” katanya dalam kenyataan.

 

Kepentingan libat urus, penyelarasan serantau

Selain itu, mengulas penglibatan dengan AS, Mohd Afzanizam berkata kalangan pegawai terbabit dijangka berinteraksi dengan rakan di AS dan memandangkan ART belum dilaksanakan, aspek seperti teknikal perlu diteliti semula agar selaras dengan keputusan mahkamah AS berkenaan.

Pada masa masa, pendekatan diplomatik Malaysia pula dijangka menghasilkan keputusan yang memberi manfaat bersama selain memberi masa sesuai untuk mendapatkan terma yang lebih bermanfaat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FSG Advisory Sdn Bhd Dr Anthony Dass berkata tindakan segera di peringkat negara ini adalah mendapatkan kejelasan atau kepastian berkaitan pelaksanaan dengan berhubung terus dengan pihak berkuasa AS membabitkan skop, pengecualian, tempoh masa serta liputan produk.

Beliau berkata kerajaan juga perlu menyokong daya tahan kewangan pengeksport menerusi pembiayaan perdagangan secara bersasar dan bantuan modal kerja untuk pengeksport mengalami tekanan margin sementara.

“Malaysia juga boleh bertindak mengukuhkan kredibiliti operasi dengan meningkatkan pematuhan peraturan asal, kecekapan kastam serta kebolehpercayaan dokumentasi eksport. (Ini berikutan) kelebihan struktur Malaysia terletak pada kebolehpercayaan operasi,” katanya.

Dass turut menekankan mengenai kepentingan ASEAN melaksanakan langkah-langkah serantau yang diselaraskan dengan mengukuhkan kedudukan sebagai rantaian bekalan stabil yang dapat melonjakkan blok itu sebagai asas pengeluaran yang boleh dipercayai serta berkecuali.

Integrasi pengeluaran intra-ASEAN juga perlu diperkukuh bagi membolehkan syarikat menyeimbangkan semula pengeluaran dalam rantau ini.

Beliau berkata, ini penting dan seiring usaha mengekalkan keyakinan pelabur menerusi kestabilan dasar, malah tindakan secara konsisten dan kebolehjangkaan juga menjadi ciri utama bagi kelebihan daya saing.

-- BERNAMA